Operasi MRT Putrajaya ditunda - Utusan Malaysia

Operasi MRT Putrajaya ditunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Operasi Laluan Fasa Satu Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya yang sepatutnya dibuka pada bulan ini, ditunda dan dijangka dibuka paling awal selepas Mac 2022, menurut Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, kelewatan itu bagi membolehkan pihaknya melakukan pemeriksaan lebih terperinci ke atas beberapa sistem sebelum ia boleh ber­operasi sepenuhnya.

“Kami telah menjalankan pemeriksaan terperinci akhir dan demonstrasi prestasi sistem sejak April. Bagaimanapun, kedua-dua aktiviti tersebut masih belum selesai.

“Oleh itu, MRT Corp. tidak dapat mengambil alih aset daripada kontraktor serah kunci yang dilantik. Justeru, Laluan Fasa Satu tidak dapat dibuka untuk perkhidmatan berbayar pada November 2021 seperti dijadualkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, tren MRT telah mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan banyak data telah dikumpul.

Mohd. Zarif berkata, setelah meneliti data tersebut, pihak­nya mendapati, dua modul perlu penelitian lebih lanjut.

“Kami perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga adalah stabil sebelum kami dapat mengambil alih aset ini dan meluluskannya untuk operasi.

“Kami sentiasa mengambil berat akan keselamatan penumpang, kakitangan operasi dan kru penyelanggaran kami,” katanya.

Laluan Fasa Satu sejauh 17.5 kilometer membabitkan laluan dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu, melibatkan sembilan stesen baharu di ke­seluruhan rangkaian rel Lembah Klang.

Ia akan menghubungkan orang ramai ke beberapa lokasi baharu seperti Damansara Damai, Bandar Sri Damansara, Kepong, Jinjang dan Kampung Batu.

Secara keseluruhan, pembukaan Laluan Fasa Satu mempunyai 12 stesen termasuk tiga stesen bergerak dari laluan MRT Kajang.

Sementara itu, pembinaan Laluan Fasa Kedua dari Stesen MRT Kentonmen ke Stesen MRT Putrajaya Sentral sudah mencapai 94.2 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×