Northport sambut Wan Hai Lines - Utusan Malaysia

Northport sambut Wan Hai Lines

AZMAN Shah Mohd. Yusof (empat, dari kiri) bersama Ketua Negara dan Naib Presiden Eksekutif Wan Hai Lines (M) Sdn. Bhd., Wallace Hu (empat, dari kanan) semasa penerimaan perkhidmatan AA7 syarikat itu di Northort, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC menerima perkhidmatan baharu syarikat perkapalan Wan Hai Lines yang menghubungkan Asia dan Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).

Perkhidmatan baharu yang dilancarkan pada Jun lalu itu dikenali sebagai Perkhidmatan AA7, membuat pelayaran sulungnya melalui perairan Malaysia ke Northport pada 2 November 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pihaknya berbesar hati menjadi antara pelabuhan singgahan untuk perkhidmatan AA7 Wan Hai Lines yang menghubungkan Asia dan Pantai Timur AS.

Ujarnya, perkhidmatan itu amat penting kerana ia merupakan perkhidmatan pertama yang menghubungkan pelabuhan kami dengan pelabuhan di AS sejak April 2017.

“Kami percaya perkhidmatan terus dari Pelabuhan Klang ke Pantai Timur AS akan meningkatkan lagi kapasiti dan kecekapan pelabuhan Malaysia, terutamanya dalam menghubungkan pengeksport dan pengimport tempatan dengan pasaran AS dalam jangka masa transit yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Wan Hai Lines, singgahan di terminal Northport adalah pengembangan perkhidmatan AA7nya bagi mengukuhkan rangkaian antara Asia dan Pantai Timur AS, dengan menjangkakan permintaan yang berterusan dan kukuh dalam kedua-dua pasaran.

Perkhidmatan AA7 beroperasi dengan sebelas 11 buah kapal kontena berkapasiti 2,800 hingga 4,000 TEU (Unit Setara Dua Puluh Kaki).

Pelabuhan-pelabuhan singgahan untuk perkhidmatan AA7 termasuk pelabuhan Ningbo (China), Taipei (Taiwan), Xiamen (China), Shekou (China), Cai Mep (Vietnam), Pelabuhan Klang – Northport (Malaysia), New York (Pantai Timur AS), Savannah (Pantai Timur AS) dan Ningbo (China).

Wan Hai Lines menawarkan rangkaian perkhidmatan yang paling komprehensif di Timur Jauh dengan lebih daripada 85 perkhidmatan, adalah pelanggan terbesar Northport dari segi pengendalian kontena serta merupakan syarikat perkapalan kontena ke-10 terbesar di dunia dengan 149 buah kapal.

Tambah Azman, pihaknya percaya perkhidmatan baharu ini akan membuka lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan untuk mengembangkan pasaran mereka ke negara ekonomi terbesar dunia.

“Permintaan ruang gudang untuk pengedaran serantau bagi memenuhi keperluan syarikat yang berpangkalan di AS juga dijangka meningkat.

“Selain itu, perkhidmatan ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan kami dengan Wan Hai Lines berasaskan kepada kualiti perkhidmatan yang cemerlang, kebolehbergantungan dan kepercayaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN