PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Datuk Norliza Abdul Rahim sebagai Pengerusinya berkuat kuasa 8 November lalu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada Ogos lalu.
Menurut UDA, Norliza yang memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan), Sarjana Muda Perancangan Kewangan Lanjutan dan Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan), mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan dan swasta.
“Beliau menyelia pelaksanaan lebih 25,000 unit perumahan awam, unit kediaman dan komersial semasa perkhidmatan beliau di Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta di Prime View Sdn. Bhd., syarikat hartanah swasta,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Norliza juga mempunyai pengalaman luas dalam menerajui beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta yang tersenarai di Bursa Malaysia merangkumi bidang hartanah, perkapalan, universiti awam dan koperasi.
Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negara dari 2011 hingga 2017, katanya.
Sementara itu, Norliza berkata, beliau akan bersama kepimpinan UDA untuk menyambung legasi kecemerlangan agensi itu dan kekal utuh sebagai peneraju pembangunan bandar, dalam masa sama terus memperkasa keluarga usahawan.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana mengiktiraf wanita, terima kasih juga pada Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Datuk Seri Noh Omar) atas kepercayaan untuk menerajui kepimpinan UDA,” kata beliau.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd. Salem Kailany mengalu-alukan pelantikan Norliza dalam menerajui kepimpinan syarikat.
“Semoga pucuk pimpinan beliau menjadi aspirasi bagi UDA meneruskan kegemilangan untuk 50 tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN










