PETALING JAYA: Syarikat penghantaran kargo, My Jet Xpress Airlines Sdn. Bhd. (MyJet) melabur sebanyak RM100 juta bagi membeli dua pesawat kargo Boeing 737-300F dan Boeing 737-800F untuk meningkatkan operasi di negara ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Mohamed Yunos Mohamed Ishak berkata, pembelian tersebut menjadikan jumlah keseluruhan pesawat sebanyak enam buah untuk operasi tempatan, selain turut menambah sebuah pesawat di Filipina dan dua lagi di Indonesia.
“Kami bakal menambah lebih kurang empat perjalanan baharu ke Shandong, Wuhan, Xiamen dan Shenzen seterusnya dari Kuala Lumpur ke India ekoran lonjakan permintaan semasa”, katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perniagaan dengan Kerry Logistic Network (KLN) di Kota Kinabalu, kelmarin.
Majlis tersebut turut hadiri Pembantu Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir; Ketua Pegawai Eksekutif MyJet, Azrul Hisham Abdul Wahab dan Pengarah KLN Malaysia, Alan Ng
Dalam perkembangan lain, Mohamed Yunos memberitahu, MyJet kini menjalin kerjasama dengan syarikat perkhidmatan logistik antarabangsa, KLN bagi operasi penerbangan kargo eksklusif untuk laluan pergi-balik Kota Kinabalu (BKI) dan Macau (MFM).
Jelasnya, kerjasama tersebut berikutan peningkatan dari sektor e-dagang yang memerlukan proses penghantaran lebih cepat selepas mencatat lebih 200 penerbangan sejak dilancarkan pada Mac lalu ekoran tempoh masa penghantaran yang lebih singkat berbanding menggunakan perkhidmatan perkapalan.
“MyJet berperanan dalam industri kargo dan KLN dalam bidang logistik, kerjasama ini perlu bagi melancarkan penghantaran memandangkan jarak antara Kota Kinabalu dan China lebih dekat.
“Tidak ada perbezaan yang ketara dari segi kos operasi menggunakan laluan udara atau laut, namun dari segi masa, lebih jimat menggunakan laluan udara” katanya.
Dalam pada itu, MyJet memberi sumbangan sebanyak RM47,000 sebagai menghargai jasa serta pengorbanan petugas barisan hadapan selain RM20,000 kepada anak yatim dari Madrasah Waqaf Islamiah Sabah. – UTUSAN










