CALIFORNIA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk dilaporkan menjual tambahan AS$973 juta (RM4.06 bilion) sahamnya dalam syarikat itu.
Malah, beliau dilaporkan berjanji untuk menjual lebih banyak sahamnya dalam syarikat pembuat kenderaan elektrik itu.
Dalam perkembangan terbaharu kelmarin, Musk menjual tambahan AS$973 juta sahamnya.
Sepanjang minggu lalu, Musk telah menjual kira-kira 8.2 juta saham Tesla dengan harga sekitar AS$8.8 bilion (RM36.76 bilion).
Jualan tersebut memenuhi janjinya di Twitter untuk menjual 10 peratus pegangan dalam Tesla.
Bilionair itu dilaporkan menjual sahamnya hampir setiap hari. Penjualan tersebut dibuat selepas saham Tesla kembali menokok dalam sesi dagangan biasa.
Penjualan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada rancangan beliau dua bulan lalu untuk melaksanakan blok pilihan saham yang lebih besar sebelum ia berakhir Ogos tahun hadapan.
Menurut makluman syarikat itu, orang dalam syarikat seperti CEO dibenarkan membuat rancangan penjualan saham supaya jualan berlaku tanpa dipengaruhi maklumat bukan awam yang mungkin mereka miliki berkenaan syarikat.
Bagaimanapun, penjualan kelmarin dilihat lebih didorong oleh keperluan untuk melaksanakan opsyen saham yang dipegangnya sebelum ia tamat Ogos 2022. Ia ditambah dengan keperluan bahawa beliau perlu membayar cukai ke atas saham tersebut sebaik sahaja berbuat demikian.
Musk turut dilaporkan berjanji untuk menjual lebih banyak pegangannya dalam syarikat automotif itu.
Dalam makluman kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC), Tesla memberitahu, Musk memperoleh 2.1 juta saham bernilai AS$2.2 bilion (RM9.19 bilion) pada harga penutup dan menjual 934,091 untuk AS$973 juta bagi membayar cukai.
Lapor Reuters, dalam sektor yang diterajui oleh Rivian Automotive Inc. dan Lucid Group Inc., saham Tesla Inc. meningkat 4.1 peratus dan ditutup pada AS$1,054.73 (RM4406.13), menyebabkan permodalan pasarannya turun kepada kira-kira AS$187 bilion (RM781.19 bilion) sebelum Musk mula menjual saham minggu lalu. – AGENSI










