Membina motivasi pelanggan era digitalisasi - Utusan Malaysia

Membina motivasi pelanggan era digitalisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengembangan teknologi digital pada era Internet Kebendaan telah membuka perspektif baharu kepada perubahan budaya berkomunikasi, cara kerja dan trend gaya hidup masyarakat kini. Melalui kemudahan dalam menyebarkan maklumat secara lebih meluas dengan mudah dan pantas juga telah menjadikan era ini turut dikenali sebagai digital noise atau era lambakan maklumat.

Evolusi digital ini juga turut memberi cabaran kepada sebahagian besar sektor perniagaan dalam usaha mempertingkatkan lagi nilai daya saing untuk terus berkembang maju. Perniagaan hari ini bukan sekadar perlu merangka dan melaksanakan strategi pemasaran berteraskan idea dan kreativiti yang tepat kepada sasaran prospek pasaran, tetapi juga penyampaian input yang mampu menyentuh emosi dalam membina motivasi pelanggan. Ia juga selaras dengan konsep memanusiawi keberadaan digital untuk impak pemasaran yang berpanjangan di pasaran.

Mengenal pasti faktor motivasi pelanggan merupakan proses penting dalam konteks pemasaran digital kini. Proses ini bermula dari usaha membina audiens dan menarik perhatian mereka sehingga ia mampu menarik prospek untuk bertindak menjadi pelanggan setia kepada sesebuah jenama dan produk atau perkhidmatan. Terdapat beberapa faktor yang perlu dititikberatkan dalam memastikan strategi pemasaran digital dapat mencapai tahap impak yang mampu membina motivasi pe­langgan secara berterusan.

Mengenal Pasti Karakter Platform Digital

Penggunaan platform digital dan media sosial sememangnya sudah tidak asing lagi dalam kalangan industri dan individu pada hari ini. Merujuk kajian Social Media Marketing Trends in 2021 oleh agensi kaji selidik pemasaran GWI menyatakan bahawa majoriti individu kini memiliki lebih satu akaun media sosial dan mengakses sekurang-kurangnya empat platform media sosial sehari.

Namun, pada setiap platform media sosial tersebut juga sebenarnya memiliki karakter, potensi serta tarikan pengaruh yang berbeza. Kajian turut menjelaskan, teknik pemasaran kandungan yang berimpak tinggi di sesebuah platform media sosial tidak semestinya memberi impak yang sama di platform media sosial yang lain. Ini disebabkan mood dan emosi pengguna turut berubah mengikut keberadaan pengaruh yang tercetus dalam sesebuah platform media sosial tersebut.

Oleh itu, pengusaha perniagaan perlu mengambilkira potensi sesebuah platform dalam hubungkait budaya dan persepsi pengguna media sosial dalam merangka input kreativiti pemasaran kandungan yang selaras dengan aspirasi perniagaan, prospek pelanggan serta penerimaan majoriti audiens di sesebuah media sosial.

Membina Pesona Pelanggan

Pemasaran kandungan ha­ruslah mempunyai tarikan dan pesona dalam penyampaian yang mampu mempengaruhi hati dan jiwa prospek yang di­sasarkan. Ini melibatkan inisiatif perniagaan dalam mengenal pasti secara dasar tentang faktor-faktor yang disukai atau menarik minat majoriti prospek pasaran yang disasarkan.

Pesona pelanggan juga tidak semestinya sama pada setiap platform media sosial walaupun melibatkan individu yang sama pada dua platform yang berbeza. Sebagai contoh, sesebuah kandungan yang dikongsikan di TikTok atau Instagram tidak semestinya memberi impak yang sama di Facebook. Pe­ngalaman industri pernah membuktikan sesebuah kandungan yang berimpak tinggi di TikTok dan dimuat turun untuk diulang siar di Facebook berkemungkinan tidak memperolehi impak yang sama. Malah ada juga yang mendapat kecaman netizen dan maklumbalas sebaliknya.

Perniagaan kini perlu lebih cakna terhadap budaya dan trend pengguna digital. Membina pesona pelanggan turut menjadi faktor menyuntik motivasi terhadap pengukuhan prospek pasaran dan menjana pelanggan setia.

Justeru itu, membina motivasi pasaran menjadi salah satu elemen penting kepada usahawan dan organisasi perniagaan dalam pemerkasaan pasaran digital yang berorientasikan kehendak pelanggan pada masa kini. Ia juga menjadi landasan memperkukuh kredibiliti perniagaan berdasarkan kepercayaan pelanggan setia.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN