PETALING JAYA: Pelancaran Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) bertujuan menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor perladangan sawit, terutama kebergantungan kepada buruh asing.
Menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), MARCOP akan memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) melibatkan penggunaan teknologi seperti dron, robot dan sensor untuk operasi bersepadu dan sistematik.
“Konsortium ini telah diberi mandat untuk mengembangkan teknologi dan inovasi melalui perkongsian kepakaran penyelidikan bersama pihak industri, teknokrat serta ahli akademik,” katanya dalam kenyataan.
MARCOP telah dilancarkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, semalam.
KPPK berkata, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM30 juta melalui geran padanan dalam bajet 2021 untuk menyokong aktiviti MARCOP, manakala pihak industri pula menyumbang RM30 juta melalui kutipan ses Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Peruntukan keseluruhan MARCOP adalah sebanyak RM60 juta untuk penyelidikan dan pengkomersialan teknologi mekanisasi ladang, jelasnya.
Kementerian itu menambah, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan telah menetapkan pelan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun akan datang, termasuk mengurangkan pengambilan pekerja asing berkemahiran
rendah.
Kerajaan juga katanya, telah menggariskan beberapa langkah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi termasuk menggalakkan industri bergerak ke arah automasi dan mekanisasi.
KPPK melalui MPOB katanya, telah memulakan program latihan untuk belia berkaitan mekanisasi untuk menarik tenaga kerja tempatan bekerja di ladang.
“Dengan harga pasaran minyak sawit yang tinggi dan kukuh, para penggiat industri komoditi diseru untuk melabur dalam teknologi terutamanya mekanisasi dan automasi sebagai alternatif kepada penggunaan tenaga buruh asing terutama untuk penuaian.
“Industri sawit perlu menarik golongan muda malah wanita ke dalam sektor yang didominasi oleh kaum lelaki ini. Dalam keadaan kekurangan tenaga sumber kerja dan harga sawit yang kukuh, ia merupakan peluang terbaik untuk sektor ini berubah kepada model pengeluaran yang lebih mampan,” jelasnya.
Menurut KPPK, data Jabatan Perangkaan 2020 menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh bagi wanita hanya 55.3 peratus berbanding lelaki 80.6 peratus.
Sehubungan itu katanya, MARCOP diharap dapat menyumbang kepada hasrat kerajaan untuk mencapai kadar penyertaan tenaga kerja wanita berikutan kurangnya penggunaan tenaga fizikal sebanyak 59 peratus pada 2025.
“KPPK berharap dengan penubuhan MARCOP ini berupaya menyelesaikan masalah tenaga kerja dalam sektor perladangan negara secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN










