Koputra perluas perniagaan - Utusan Malaysia

Koputra perluas perniagaan

JAAFAR Ahmad (depan, dua dari kanan) dan Zaharuddin Alias (depan, dua dari kiri) pada majlis perasmian ArRahnu ketiga dan kedai emas pertama Koputra di Seri Kembangan, Serdang, Selangor, semalam. – UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra) mengembangkan produk pela burannya dalam perniagaan pajak gadai patuh syariah, Ar-Rahnu apabila melancarkan Buku Simpanan Kelana Emas (BSKE) pertama di negara ini.

Menurut Pengerusi Koputra, Zaharuddin Alias, produk kewangan tersebut diwujudkan bagi menggalakkan ahliahli Koputra menyimpan dalam bentuk emas.

“Ahli-ahli Koputra boleh membeli atau menyimpan dalam bentuk emas. Ia boleh menjadi sumber pelaburan kaki tangan untuk masa depan.

“Emas sebagai bahan yang bernilai tinggi sudah pasti merupakan pelaburan terbaik untuk ahli-ahli Koputra,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ar-Rahnu ketiga Koputra dan Kedai Kelana Emas yang disempurnakan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Jaafar Ahmad di Wisma Koputra 2 Taming Jaya Seri Kembangan, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Koputra, Ghazali Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhaimin Jewels & Gems, Amin Abu Muhammad. Zaharuddin menambah, cawangan pertama Ar-Rahnu Koputra di Seri Kembangan dan Bangi telah menjana RM14 juta pembiayaan.

Sementara itu, Ghazali memaklumkan, cawangan ketiga Ar-Rahnu dan kedai emas pertama Koputra tersebut akan menjadi pusat sehenti untuk ahli-ahli koperasi dan orang ramai berurus niaga.

“Para pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan membeli, menjual, pajakan, mencuci dan menyimpan emas di sini.

“Kontrak Ar-Rahnu yang diluluskan SKM ialah kontrak Tawarruq yang mana pembiayaan yang kami tawarkan cagaran 80 peratus nilai emas berjumlah sehingga RM500,000,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, pihaknya mengalu-alukan penubuhan Ar-Rahnu dan kedai emas di Wilayah Persekutuan dalam usaha pihak koperasi meningkatkan pendapatan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN