Kerjasama awam-swasta bantu penggiat seni - Utusan Malaysia

Kerjasama awam-swasta bantu penggiat seni

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz menghadiri majlis pembukaan SIMB Artober Hotel Art Fair 2021, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) dan Yayasan Hasanah melancarkan kerjasama tiga hala awam-swasta yang dikenali sebagai TripART dalam majlis pembukaan CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 kelmarin.

Menurut CIMB, kerjasama tersebut dikonsepkan memenuhi keperluan untuk kedua-dua pihak swasta dan awam memberikan sokongan berkesan kepada artis, penghibur dan pengkarya tempatan dalam pasarannya, sekali gus memperkukuh kemampuan ekonomi ekosistem seni dan budaya tempatan.

Katanya, melalui kerjasama itu, ketiga-tiga pihak akan menerajui kempen masing-masing yang secara kolektif mempromosikan lapangan seni, budaya dan warisan, iaitu Artober CIMB, Seni Dalam Bandar (AITC) Cendana dan ArtsFAS Yayasan Hasanah.

Kerjasama itu turut bertujuan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelapan, 10 dan 11 iaitu menggalakkan pertumbuhan inklusif dan mampan, mengurangkan ketidaksaksamaan dan mewujudkan bandar serta komuniti mampan.

Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan CIMB, Gurdip Singh Sidhu berkata, melalui kempen Artober dan acara utamanya, Hotel Art Fair, pihaknya menyasarkan untuk menjana minat yang lebih dalam kalangan orang awam dan sokongan untuk pengkarya tempatan dalam tempoh yang mencabar ini.

“Ini selari dengan komitmen kami untuk mewujudkan kesan positif yang nyata dalam komuniti sebagai sebuah organisasi yang dipacu tujuan.

“Dengan pembukaan semula ekonomi dan kelangsungan aktiviti sosial, kami juga berharap dapat melihat pemulihan dalam lapangan seni dan budaya Malaysia yang terkesan disebabkan pandemik,” katanya.

CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 yang disokong Cendana diadakan dari 4 hingga 7 November ini bertempat di tingkat 45 Element by Westin, Kuala Lumpur.

Acara seni itu yang diadakan dengan menukarkan suite tetamu kepada galeri seni mini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Acara ini mempamerkan kerja seni yang disusun khas oleh lebih 50 artis mewakili sembilan galeri seni selain pameran kerja seni dan kraf tangan benefisiari dan rakan kongsi Yayasan CIMB, Cendana dan Yayasan Hasanah,” kata CIMB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×