PETALING JAYA: Alibaba Group Holding Limited (Alibaba Group) telah menamatkan Festival Membeli Belah Global 11.11 tahunannya dengan menjana jumlah kasar jualan sebanyak AS$84.54 bilion (RM352.19 bilion) sepanjang kempen itu diadakan.
Naib Presiden Alibaba Group, Yang Guang berkata, Festival Membeli Belah Global 11.11 itu menyampaikan pertumbuhan stabil dan berkualiti, mencerminkan ekonomi penggunaan China yang dinamik.
“Kami juga memanfaatkan kuasa 11.11 sebagai platform untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat kami.
“Festival tahun ini sangat bermakna kerana ia merupakan sebahagian daripada komitmen kami ke arah membina masa depan yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
Yang Guang memberitahu, sebanyak 290,000 jenama yang telah menyertai festival tersebut pada tahun ini, di mana 65 peratus adalah perniagaan kecil dan sederhana (PKS), pengilang kawasan perindustrian dan jenama baharu.
Ujarnya, sebanyak 275 jenama baharu menyaksikan nilai dagangan kasar (GMV) mereka berganda untuk tahun ke tahun selama tiga tahun berturut-turut.
Tambah Yang Guang, kawasan pertanian yang kurang maju juga telah menikmati jualan yang kukuh dengan GMV produk pertanian wilayah-wilayah terbabit berkembang 20 peratus tahun ke tahun.
Pada festival tersebut, Alibaba Group telah memindahkan sepenuhnya semua sistem dan operasi kepada awan awamnya.
Penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam pusat data Daerah Zhangbei memainkan peranan utama dalam menyokong perniagaan e-dagang Alibaba Group, mengurangkan lebih 26,000 tan pelepasan karbon. – UTUSAN










