KDNK suku keempat 2021 dijangka positif - Utusan Malaysia

KDNK suku keempat 2021 dijangka positif

KEBENARAN rentas negeri dan pembukaan sektor ekonomi membolehkan ekonomi negara mencatat prestasi yang lebih baik pada suku keempat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat (S4) tahun ini akan menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, itu kerana kegiatan ekonomi yang meningkat berlipat ganda sejak kebenaran merentas negeri dibenarkan pada Oktober lalu.

“Asas yang rendah pada S4 2020 iaitu -3.4 peratus akan memberikan kenaikan atau memberi lonjakan yang lebih tinggi untuk S4 2021, selaras dengan pembukaan ekonomi sejak 11 Oktober lalu.

“Antara petunjuk positif yang lain ialah peningkatan pengeluaran dalam industri perkilangan dan pembinaan, pasaran buruh yang lebih baik dengan banyak peluang pekerjaan serta penurunan kadar pengangguran dan permintaan eksport yang terus meningkat terutamanya semikonduktor serta harga komoditi seperti minyak sawit dan minyak mentah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Aimi Zulhazmi turut menyifatkan jangkaan pertumbuhan ekonomi sekitar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun depan sebagai realistik.

Beliau berkata, ia berikutan perbandingannya adalah dengan asas yang lebih rendah untuk 2022.

Malah, jelasnya, asas 2021 adalah lebih rendah berbanding 2020 yang menguncup sebanyak 5.6 peratus. Secara tidak langsung, kadar 2022 akan menjadi lebih baik berbanding 2021.

“Kalau mengikut kegiatan dan pembukaan ekonomi S4 2021, harapan negara lebih cerah malah pertumbuhan ekonomi negara boleh melebihi unjuran tersebut.

“Namun, pemulihan ekonomi ini juga perlu mengambil kira sekiranya berlaku gelombang ketiga penularan wabak Covid-19.

“Kadar inflasi yang memberikan ancaman kepada kesejahteraan rakyat, peningkatan harga minyak mentah dan kenaikan harga komoditi juga boleh memberi tekanan kepada pemulihan ekonomi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 1.75 peratus akan membantu negara kerana tekanan inflasi sudah bermula berikutan pemulihan ekonomi.

Ujarnya, kenaikan harga barang sudah terasa dan itu sebenarnya akan meningkatkan tekanan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan kadar tersebut.

“Saya berharap BNM akan mengekalkan OPR sehingga ekonomi negara pulih sepenuhnya kerana jika tidak, apabila OPR menaik, ia akan membebankan pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN