PUTRAJAYA: Keluaran Dalam Negarai Kasar (KDNK) merekodkan peningkatan sebanyak 3 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi KDNK itu mengambil kira penguncupan sebanyak 4.5 peratus tahun-ke-tahun pada suku ketiga tahun ini yang menggambarkan cabaran dihadapi berikutan langkah pembendungan ketat mengekang lonjakan kes baharu disebabkan kemunculan varian baharu Covid-19.
Menurut beliau, dari segi prestasi KDNK bulanan, penguncupan yang semakin mengecil kepada 1.1 peratus pada September berbanding 7.6 peratus Julai dan 4.7 peratus Ogos, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi dan sosial susulan momentum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seterusnya membolehkan lebih banyak negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Meskipun berdepan cabaran sepanjang suku ketiga 2021, pelbagai indikator ekonomi utama menunjukkan momentum pemulihan kukuh terutamanya apabila negara memasuki suku keempat 2021 dan menuju 2022.
“Ini termasuk penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.5 peratus pada September serta lonjakan 24.7 peratus dalam eksport dan peningkatan 11.6 peratus dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tengku Zafrul berkata, peningkatan pada kedua-dua indeks keyakinan perniagaan dan pengguna yang dipantau Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) serta RM12.8bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion.
Dari segi pasaran kewangan Malaysia pula, kata beliau, sistem perbankan kekal kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai merekodkan 154.4 peratus pada September, selain nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing mencatat 1.6 peratus dan 1 peratus.
Beliau berkata, rizab antarabangsa Malaysia kekal tinggi dengan jumlah sebanyak AS$116.1 bilion (RM483.61 bilion) pada akhir Oktober lalu, cukup untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan bersamaan 1.3 kali hutang luar negara jangka pendek.
“Pinjaman terkumpul kepada perniagaan meningkat 2.4 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding suku kedua iaitu 1.3 peratus yang disokong oleh kegunaan modal kerja yang tinggi.
“Peningkatan ini juga didorong subsektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel, serta sektor pembuatan berikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi yang lebih meluas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dari sudut pasaran modal, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.2 peratus pada suku tahun ketiga dengan pelabur runcit menyumbang RM11.3 bilion dalam pelaburan bersih.
Sementara itu, katanya, segmen unit amanah menerusi Nilai Aset Bersih meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM537.9 bilion pada akhir September lalu yang mana nilai berkenaan mencakupi hampir 30 peratus daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia.
“Sejak Ogos lalu, aliran masuk bersih sebanyak RM3.5 bilion daripada pelabur asing telah direkodkan.
“Pasaran bon ringgit juga menyaksikan peningkatan keyakinan pelabur asing yang ketara terutamanya pegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia yang mencatatkan RM231 bilion atau bersamaan 25 peratus daripada jumlah terkumpul bon kerajaan jangka panjang.
“Pasaran sekunder kekal kukuh dan terbitan kerajaan terus disokong dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan (year-to-date) sebanyak 2.1 kali,” katanya.
Tengku Zafrul pada masa sama optimis KDNK Malaysia berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada tahun depan, selari dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.
Katanya, pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama. – UTUSAN










