Jualan kereta di Malaysia meningkat 43 peratus - Utusan Malaysia

Jualan kereta di Malaysia meningkat 43 peratus

PROTON X50 antara kenderaan terlaris dalam negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan kende­raan di Malaysia meningkat kepada 63,489 unit Oktober lalu berbanding 57,695 unit pada bulan sama tahun lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, jualan yang lebih tinggi itu disokong oleh syarikat yang meningkatkan pengeluaran dan penghantaran kenderaan untuk memenuhi pesanan tertunggak, serta operasi perniagaan lebih lama di seluruh negara.

Jelasnya, jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 56,881 unit pada Oktober 2021 daripada 52,806 unit pada Oktober 2020, manakala jualan kenderaan komersial meningkat kepada 6,608 unit daripada 4,889 unit.

“Dari segi perbandingan bulan sebelumnya, jumlah jualan untuk Oktober lalu juga meningkat 43 peratus daripada 44,275 unit pada September 2021.

“Ini adalah kali kedua jumlah keseluruhan industri (TIV) bulan melebihi 60,000 unit. Selain itu, kembalinya operasi perniagaan turut memberikan impak kepada lonjakan ini,” menurut kenyataan itu, semalam.

Bagaimanapun, MAA memaklumkan untuk 10 bulan pertama tahun ini, jualan merosot kepada 382,379 unit berban­ding 401,714 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Dari segi jumlah pengeluaran, MAA berkata sebanyak 65,410 kenderaan dikeluarkan pada Oktober 2021 berbanding dengan 58,631 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

“Pengeluaran kenderaan penumpang meningkat kepada 61,248 unit pada Oktober 2021 berbanding 55,063 unit pada tahun lalu manakala pengeluaran kenderaan komersial juga naik 4,162 unit daripada 3,568 unit sebelumnya,” katanya.

Mengenai unjuran untuk November 2021, MAA menjangkakan jumlah jualan akan tetap stabil pada tahap Oktober selain promosi akhir tahun yang akan dilaksanakan syarikat kereta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×