Jadi ‘ayah ibu’ kepada empat adik - Utusan Malaysia

Jadi ‘ayah ibu’ kepada empat adik

KETUA BIRO Utusan Malaysia Kedah, Zaid Mohd. Noor menyampaikan sumbangan kepada Nurfarra Asyikin Norazmi di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang gadis, Nurfarra Asyikin Norazmi, 20, terpaksa menjadi ‘ibu ayah’ kepada empat adiknya berusia 4 tahun hingga 18 tahun di Kampung Pasir Puteh Tualak, Kuala Nerang, Padang Terap dekat sini.

Nurfarra Asyikin kematian ibunya, Norhashimah Abdul Majid pada 23 Jun lalu selepas arwah berpisah dengan suaminya lebih setahun lalu.

Empat adiknya ialah Mohd. Hafiq Ridzuan,18; Nur Anis Amira, 15; Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4, dengan tiga daripada mereka yang masih bersekolah.

Menurut Nurfarra Asyikin, dia kini bertugas sebagai anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan.

Pada awal kematian ibunya, dia dan empat adiknya menumpang sementara di rumah bapa saudara mereka di kampung tersebut.

“Saya bersyukur Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) membina sebuah rumah baharu berdekatan rumah bapa saudara saya selepas kematian ibu untuk saya dan adik-adik tinggal bersama,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Wakil Media MMSB menyampaikan sumbangan kepada Akma Zuraidah Md. Takudin di rumahnya di Langkawi, baru-baru ini.

Di Langkawi, seorang ibu tunggal, Akma Zuraidah Md. Takudin, 39, menjadikan pengalaman dihalau dari rumah sewa pada Julai lalu sebagai pembakar semangat untuk membina hidup yang lebih baik.

Pada masa ini, tukang masak di sebuah kedai makan di Kedawang di sini itu menyara empat anak berusia lapan hingga 17 tahun di rumah sewa di Kampung Lubok Buaya.

Akma Zuraidah berkata, dia kena berhemah dalam perbelanjaan kerana perlu membayar sewa rumah dan pelbagai bil setiap bulan.

“Pendapatan saya sebagai tukang masak hanya RM30 hingga RM45 sehari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ibu tunggal itu memberitahu, kehidupan mereka mula dihimpit kesusahan apabila dia hilang mata pencarian selepas kedai makan tempat berkenaan ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada masa itu, saya tidak mempunyai sebarang pendapatan dan tidak dapat membayar sewa rumah sehingga dihalau keluar,” katanya.

Nurfarra Asyikin dan Akma Zuraidah menerima sumbangan Jelajah Ikhlas Bersama CSR anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB).

Dengan tagline ‘Berkongsi Kemanisan Rezeki’ melibatkan sumbangan kewangan, barangan makanan dan lain-lain, program berkenaan menyasarkan kumpulan terjejas akibat pandemik Covid-19 khususnya golongan B40 di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya