Imbangan akaun semasa Malaysia catat lebihan RM11.6 bilion - Utusan Malaysia

Imbangan akaun semasa Malaysia catat lebihan RM11.6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Imbangan akuan semasa Malaysia terus mencatat lebihan RM11.6 bilion pada suku ketiga (S3) tahun ini, manakala kedudukan pelaburan antarabangsa merekodkan aset bersih sebanyak RM68.1 bilion.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sebahagian besar lebihan akaun semasa Malaysia masih disokong oleh eksport bersih yang lebih tinggi dalam akaun barangan dengan RM41.2 bilion berbanding RM40.7 bilion pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, dibandingkan dengan suku kedua 2021, eksport barangan menurun pada kadar yang lebih perlahan berbanding import yang seterusnya menyumbang kepada eksport bersih lebih tinggi pada suku tahun dilaporkan.

“Eksport merosot 3.1 peratus suku ke suku kepada RM236.6 bilion, terutamanya dalam produk berasaskan elektrik & elektronik (E&E), kimia dan petroleum; sebahagian besarnya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Begitu juga, import barangan turun 3.9 peratus suku ke suku kepada RM195.4 bilion berbanding suku sebelumnya. Ini dapat diperhatikan melalui trend menurun bagi import barangan perantaraan, modal dan penggunaan terutamanya dari China dan Jepun,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, walau bagaimanapun, lebihan akaun semasa yang mengecil pada suku ini disebabkan oleh defisit yang lebih tinggi dalam akaun pendapatan.

Akaun pendapatan primer katanya, mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM11.3 bilion berbanding RM9.5 bilion pada suku kedua 2021.

“Ini disumbangkan terutamanya oleh syarikat asing di Malaysia yang memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM26.3 bilion, peningkatan sebanyak 3.3 peratus daripada suku sebelumnya, khususnya dalam Pelaburan Langsung.

“Syarikat ini kebanyakannya terlibat dalam sektor pembuatan dan kewangan yang mana pendapatan disalurkan terutamanya ke Singapura, Belanda dan Amerika Syarikat.

“Sementara itu, syarikat Malaysia di luar negara memperoleh pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM18 bilion berbanding RM19.3 bilion pada suku sebelumnya, khususnya dalam pelaburan lain. Kebanyakan syarikat ini terletak di Indonesia, Amerika Syarikat dan Singapura, terutamanya terlibat dalam sektor kewangan dan perlombongan,” kata beliau.

Mengenai akaun pendapatan sekunder, Mohd. Uzir berkata, ia mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM3.1 bilion berbanding RM1.4 bilion pada suku lepas.

“Akaun ini mencatatkan penerimaan yang lebih rendah sebanyak RM4.3 bilion disebabkan oleh penyelesaian lebih rendah yang diterima dari luar negara, manakala bayaran adalah sebanyak RM7.4 bilion,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN