Hasil TNB RM36.9 bilion - Utusan Malaysia

Hasil TNB RM36.9 bilion

Jualan elektrik kumpulan me­ningkat 1.1 peratus kepada 87,950 GWh dan keuntungan bersihnya mencecah RM2.9 bilion. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 9.6 peratus kepada RM36.9 bilion pada sembilan bulan pertama tahun ini berbanding RM33.7 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut syarikat utiliti itu, dalam tempoh tersebut, jualan elektrik kumpulan meningkat 1.1 peratus kepada 87,950 GWh dan keuntungan bersihnya mencecah RM2.9 bilion.

Katanya, peningkatan dalam aktiviti ekonomi juga telah memberi sokongan kepada prestasi positif anak-anak syarikatnya.

“Perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 4.6 peratus kepada RM14.4 bilion.

“Secara keseluruhannya, margin EBITDA kekal pada 39 peratus, diimbangi perbelanjaan lebih tinggi yang bertambah 8.7 peratus daripada peningkatan aktiviti perniagaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB berjaya merekodkan satu lagi prestasi berdaya tahan terutamanya berikutan peningkatan kegiatan ekonomi walaupun menyaksikan penguncupan sebanyak 6.7 peratus jualan elektrik pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya.

Kata beliau, penguncupan tersebut adalah kesan daripada peralihan dinamik yang disebabkan oleh pandemik berterusan dan pihaknya terus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.

“Kami mempunyai potensi untuk pertumbuhan. Sebagai penjaga infrastruktur kritikal tenaga negara, mengekalkan pulangan yang munasabah adalah penting bagi TNB untuk mengimbangi penciptaan nilai kepada para pemegang saham dan melabur semula ke dalam sistem bagi menjamin bekalan tenaga berdaya harap serta stabil.

“(Walaupun perbelanjaan operasi kumpulan terjejas), kami memastikan semua penyelenggaraan yang dirancang untuk tahun ini dapat dijalankan menjelang akhir tahun demi mengekalkan kualiti perkhidmatan berkelas dunia kepada pelanggan,” katanya.

Untuk baki suku tahun kewangan 2021, TNB meramalkan prestasi yang stabil berikutan pertumbuhan ekonomi yang disokong peningkatan dalam aktiviti ekonomi selepas kerajaan memberikan kelonggaran dalam langkah pembendungan pandemik.

“Begitupun, kumpulan akan terus mengambil langkah berhemat dalam operasi dan kewangannya bagi memastikan ia kekal berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×