PETALING JAYA: Untung bersih Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestle) meningkat 15.3 peratus kepada RM148.02 juta daripada RM128.39 juta setahun yang lalu bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021.
Menurut MIDF Research, peningkatan itu berikutan pertumbuhan teratas yang bertambah baik dan perbelanjaan pemasaran yang lebih rendah.
“Hasil suku tahunannya turut meningkat 3.62 peratus kepada RM1.44 bilion daripada RM1.39 bilion setahun lalu.
“Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham, berjumlah RM164.15 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
“Hasil suku tahunan yang lebih tinggi itu dicapai berikutan pertumbuhan jualan dalam kedua-dua pasaran domestik dan eksport yang masing-masing meningkat sebanyak 3.4 peratus dan 4.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, MIDF Research memberitahu, pelaksanaan Cukai Makmur dijangka memberikan kos tambahan sebanyak RM59.5 juta kepada Nestle.
Bagaimanapun, katanya, Nestle memaklumkan pihaknya percaya Kumpulan tidak mungkin terjejas dengan ketara berikutan pelaksanaan Cukai Makmur kerana mereka masih dalam proses pemulihan susulan penurunan keuntungan dari 2019.
“Kerajaan masih belum mendedahkan sebarang butiran mengenai cukai gula. Berdasarkan peristiwa dua tahun lalu, apabila terdapat pelaksanaan cukai gula, 70 peratus daripada produknya dikecualikan daripada cukai tersebut.
“Sehingga kini, Nestle telah merumuskan semula produknya dari segi kandungan gula dan berharap 90 peratus produknya dikecualikan apabila cukai tersebut dilaksanakan,” jelasnya.
Selain itu, MIDF turut menjangkakan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk perbelanjaan pemasaran bagi menampung pengurangan keuntungan daripada perayaan sebelum ini susulan pembukaan semula ekonomi dan kadar vaksinasi dewasa sebanyak 95.7 peratus.
“Kami mengekalkan saranan Neutral dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM141.50. Sementara menunggu penjelasan mengenai cukai gula dan Cukai Makmur daripada kerajaan, kami membiarkan anggaran pendapatan kami tidak berubah,” katanya. – UTUSAN










