Harga minyak mentah merosot - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah merosot

LEBIHAN bekalan dan permintaan yang rendah telah mengakibatkan kejatuhan harga minyak mentah global. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Harga minyak mentah merosot pada Isnin, akibat tekanan daripada jangkaan bekalan yang lebih tinggi dan permintaan yang semakin lemah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 58 sen atau 0.7 peratus kepada AS$81.59 (RM339.29) setong. Minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) pula turut susut 58 sen atau 0.7 peratus kepada AS$80.21(RM333.55) setong.

Lapor Reuters, kedua-dua pasaran telah jatuh sejak tiga minggu lepas akibat pengukuhan dolar dan spekulasi bahawa pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mungkin mengeluarkan minyak daripada Rizab Petroleum Strategik AS untuk menurunkan harga.

Penganalisis ANZ dalam satu laporan berkata, White House telah memberitahu cara menangani inflasi yang lebih tinggi, dengan beberapa pegawai menggesa agar rizab strategik itu diambil atau menghentikan eksport AS.

“Firma tenaga AS pada minggu ini telah menambah pelantar minyak dan gas asli untuk tiga minggu berturut-turut dengan harga minyak mentah berlegar menghampiri paras tertinggi dalam tujuh tahun, mendorong beberapa penggerudi kembali ke medan minyak,” katanya.

Menurut perkhidmatan tenaga Baker Hughes Co. pada Jumaat lalu, kiraan pelantar minyak dan gas mendapati petunjuk awal pengeluaran masa depan meningkat enam peratus kepada 556 pada minggu tersebut sehingga 12 November, paras tertinggi sejak April 2020.

Sementara itu, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada minggu lalu telah mengurangkan unjuran permintaan minyak dunia bagi suku keempat sebanyak 330,000 tong sehari (bpd) dari unjuran bulan lepas kerana harga tenaga yang tinggi menghalang pemulihan ekonomi daripada pandemik Covid-19.

Rosneft milik Rusia, syarikat minyak kedua terbesar di dunia selepas Saudi Aramco pada Jumaat lalu memberi amaran tentang potensi ‘pusingan super’ dalam pasaran tenaga global, meningkatkan prospek harga yang lebih tinggi apabila permintaan mengatasi bekalan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN