EV: EPMB, MARii jalin kerjasama - Utusan Malaysia

EV: EPMB, MARii jalin kerjasama

MADANI Sahari (dua kiri) dan Hamidon Abdullah (dua kanan) menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman antara EPMB dan MARii bagi kerjasama ekosistem kenderaan elektrik, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi menjalin kerjasama dan meneroka ekosistem kenderaan elektrik (EV) dan penghantaran pantas.

Melalui kerjasama itu, EPMB dan MARii bersetuju untuk meneroka penubuhan pelan pengeluaran dan pemasangan tempatan bagi EV dua roda dan empat roda.

Menurut syarikat itu, ia termasuk infrastruktur pemasaran untuk menjual EV di pasaran Malaysia dengan sokongan rangkaian pengecasan.

“Pada peringkat awal, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menubuhkan ekosistem penghantaran pantas, dan menggabungkannya dengan sistem pembayaran elektronik.

“Langkah itu akan menakrifkan semula infrastruktur penghantaran semasa dan menyepadukannya untuk dilaksanakan di peringkat seterus­nya. Ini akan memacu platform berstruktur bersepadu yang memberi perkhidmatan lebih baik kepada semua peringkat,” katanya dalam kenyataan.

MOU itu berkuat kuasa untuk tempoh dua tahun bermula semalam.

Mengulas kerjasama itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Ts. Madani Sahari berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam menawarkan insentif kepada penggunaan EV menerusi pengumuman Bajet 2022 baru-baru ini.

“Aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi MOU ini merangkumi pembangunan kerangka kemudahan penting untuk melengkapkan ekosistem mobiliti elektrik, yang mana akan merencanakan penggunaan masa depan kenderaan elektrik,” katanya.

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah pula berkata, pengumuman Bajet 2022 mengenai pengecualian semua cukai ke atas EV di Malaysia menunjukkan kerajaan serius untuk mempercepatkan penggunaan dan pembangunan infrastruktur EV serta ekosistemnya.

“Ia akan mewujudkan norma baharu, sekali gus merupakan peluang kepada EPMB,” katanya.

EPMB adalah syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dengan perniagaan terasnya adalah dalam pembekalan panel badan logam, bahagian casis, pemasangan modular logam dan kejuruteraan pemasangan modular plastik kepada Pengeluar Peralatan Asal (OEM) dalam industri automotif.

Pelanggan utamanya terma­suk jenama kereta nasional Pe­rodua dan Proton, serta pengeluar bukan nasional seperti Honda, Mazda dan Toyota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN