Empangan TNB sedia tampung limpahan air hujan - Utusan Malaysia

Empangan TNB sedia tampung limpahan air hujan

Empangan Kenyir satu daripada empangan hidroelektrik milik TNB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga empa­ngan skim hidroelektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu di Tasik Kenyir, Terengganu; Ca­meron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak, bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Urusan TNB Po­wer Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, TNB telah membuat persiapan awal dengan mengurangkan paras empangan sebagai persediaan menghadapi hujan lebat pada hujung tahun.

Beliau berkata, empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik, malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah hujan yang besar semasa musim tengkuh.

“Kapasiti empangan menakung air di huluan ini dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh.

“Air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam sungai, seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan kami,” katanya dalam kenyataan, semalam.

NOR AZMAN MUFTI

Nor Azman menjelaskan, proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidro­elektrik TNB dilaksanakan me­ngikut prosedur operasi stan­dard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Katanya, seperti tahun-tahun lalu, TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen-stesen terbabit bagi meningkatkan kecekapan semua pihak yang berkenaan bertindak pada musim banjir.

“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya menguta­makan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air. Jika ada pencawang elektrik ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas ke­adaan selamat,” jelas beliau.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN