Elon Musk jual AS$5b saham Tesla - Utusan Malaysia

Elon Musk jual AS$5b saham Tesla

ELON Musk memberikan ucapan dalam satu majlis pelancaran model baharu Tesla. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGALORE: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc., Elon Musk menjual kira-kira AS$5 bilion (RM20.82 bilion) sahamnya dalam syarikat pembuat kereta elektrik itu, beberapa hari selepas membuat tinjauan di Twitter tentang penjualan 10 peratus sahamnya.

Dalam jualan saham pertamanya sejak 2016 itu, Musk menjual hampir 3.6 juta saham bernilai kira-kira AS$4 bilion (RM16.66 bilion).

Dalam masa sama, beliau turut menjual 934,000 saham lagi bernilai AS$1.1 bilion (RM4.58 bilion) selepas mengambil pilihan untuk memiliki hampir 2.2 juta saham.

Sejumlah 4.5 juta saham itu bersamaan kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan pegangannya dalam syarikat itu yang merupakan bahagian besar dalam hartanya yang dianggarkan berjumlah AS$281.6 bilion (RM1.17 trilion), menurut majalah Forbes.

Sabtu lalu, Musk membuat undian di Twitter berkenaan penjualan 10 peratus sahamnya di Tesla, menyebabkan nilai saham syarikat itu menyusut selepas kebanyakan pengguna Twitter bersetuju dengan penjualan tersebut.

Saham Tesla merosot 12 peratus pada Selasa yang membahayakan kedudukan syarikat itu dalam kelab AS$1 trilion, namun kembali pulih 4.3 peratus pada Rabu.

Penjualan berkenaan pilihan dimulakan pada September melalui rancangan dagangan yang membolehkan orang dalam korporat melakukan transaksi prarancang mengikut jadual, menurut makluman oleh Musk.

Tidak dapat dipastikan sama ada penjualan tersebut berkaitan dengan tinjauan Musk di Twitter. Tesla tidak memberikan apa-apa kenyataan kepada Reuters.

Penjualan saham tambahan itu dilakukan secara berasingan dan memberikan Musk rizab tunai yang agak besar, memandangkan kebanyakan hartanya terikat kepada pegangannya di Tesla dan SpaceX.

Beliau mempunyai lebih 20 juta opsyen saham yang akan luput pada Ogos tahun hadapan.

Ketua Pegawai Pelaburan Hyperion Asset Management, Mark Arnold berkata, jika Musk meneruskan rancangan penjualan 10 peratus sahamnya, ia akan memberi kesan negatif dalam jangka pendek.

“Namun, saham itu agak cair dan ia bukanlah peratusan yang besar berbanding keseluruhan saham yang diterbitkan, jadi impaknya tidak begitu besar. Kami agak selesa dengan unjuran perniagaan itu,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN