Ekonomi internet ASEAN cecah AS$1 trilion menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Ekonomi internet ASEAN cecah AS$1 trilion menjelang 2030

INDONESIA, negara paling ramai penduduk di ASEAN - menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan GMV rantau itu. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Ekonomi internet Asia Tenggara dijangka mence­cah nilai AS$1 trilion (RM4.15 trilion) menjelang 2030 selepas puluhan juta pengguna mula berbelanja dalam talian dan menggunakan penghantaran makanan.

Menurut laporan oleh Alphabet Inc., Temasek Holdings dan Bain & Company, rantau tersebut telah menambah 60 juta pengguna internet baharu sejak bermulanya pandemik Covid-19, menjadikan jumlahnya bertambah kepada 440 juta.

Rantau dengan 11 negara itu merupakan antara pasaran internet paling cepat berkembang dalam dunia disebabkan populasi muda, penggunaan telefon pintar dan pembandaran, selain peningkatan golongan perte­ngahan.

Industri dalam talian di Asia Tenggara dijangka tumbuh daripada kira-kira AS$174 bi­lion (RM722.19 bilion) jumlah dagangan kasar (GMV) pada hujung 2021 kepada AS$360 bilion (RM1.49 trilion) pada 2025 dan selanjutnya AS$1 trilion pada 2030.

Pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh perkembangan e-dagang dan penghantaran makanan, memandangkan pengguna yang berada di rumah lebih banyak menggunakan internet.

Laporan tersebut yang melibatkan Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Malaysia dan Filipina mendapati GMV e-dagang akan meningkat dua kali ganda kepada AS$120 bilion (RM498.06 bilion) pada hujung tahun ini dan mencecah AS$234 bilion (RM971.22 bilion) pada 2025.

Semua negara terlibat mencatatkan pertumbuhan dua digit pada 2021 dengan Indonesia sahaja – negara paling ramai penduduk di rantau itu – menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan GMV Asia Tenggara pada AS$70 bilion (RM290.54 bilion).

Filipina mencatatkan pertumbuhan 93 peratus, menjadikan nilai ekonomi digitalnya AS$17 bilion (RM70.56 bilion).

Ketua Amalan Digital Asia Pasifik Bain & Company, Florian Hoppe berkata, GMV untuk Asia Tenggara meningkat 49 peratus tahun ke tahun.

“Ia berikutan perubahan besar-besaran pengguna dan ekosistem yang dipercepat Covid-19, terus memacu pe­ningkatan penggunaan digital,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN