PETALING JAYA: British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) berpendapat sebarang rangka kerja percukaian untuk produk pengurangan risiko seperti cecair nikotin dalam rokok elektronik dan vape perlu dipertimbangkan dengan baik.
Ia perlu supaya dapat menggalakkan pengguna beralih daripada rokok tradisional dan dalam masa sama tidak mendorong pengguna terjerumus ke arah alternatif pasaran gelap yang murah dan tidak terkawal.
Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, pengumuman kerajaan Malaysia mengenakan duti eksais ke atas produk wap nikotin dalam pembentangan Bajet 2022 minggu lalu adalah tepat pada masanya.
Namun katanya, pertimbangan sewajarnya perlu dilakukan bagi mengelakkan kesilapan kadar eksais tembakau yang tinggi berulang di mana ketika ini kerajaan kerugian RM5 bilion setahun.
“Pengenalan duti eksais untuk produk wap nikotin adalah satu langkah ke arah yang betul untuk pengurangan bahaya tembakau di Malaysia.
“Peraturan bukan sahaja membenarkan pengguna vape menggunakan alternatif yang berisiko rendah selain merokok, tetapi juga memastikan produk yang digunakan mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambah beliau, BAT Malaysia mempunyai matlamat jelas iaitu membina ‘Masa Hadapan Lebih Baik’ dengan mengurangkan impak kesihatan dalam perniagaannya, dan dengan itu, mewujudkan nilai pelbagai pemegang taruh. – UTUSAN










