PETALING JAYA: Restoran Taco Bell yang dinanti-nantikan di Tropicana Gardens Mall, Kota Damansara akan dibuka pada 28 November ini.
Lokasi baharu itu akan menawarkan masakan Taco Bell yang diilhamkan daripada Mexico serta pengalaman makanan yang unik.
Pengendali Francais Taco Bell Malaysia, Harris Beh berkata, pihaknya terharu dengan sambutan yang luar biasa dari cawang Taco Bell di Cyberjaya dan Cheras.
“Dengan pembukaan restoran Taco Bell terbaharu itu, kami berharap penduduk Petaling Jaya dan Damansara akan turut menikmati dan menyerlahkan pengalaman makan yang unik.
“Kami telah melancarkan kempen global iaitu #ISEEATACO pada Oktober lalu di mana kami menggalakkan peminat untuk mencari mercu tanda di Malaysia atau objek di sekeliling yang mempunyai bentuk seperti taco.
“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan tetamu dan pelanggan ke restoran terbaharu itu untuk turut serta kempen tersebut dan meneruskan pencarian mereka,” katanya dalam kenyataan.
Berkeluasan lebih 2,000 kaki persegi, restoran baharu itu direka khas untuk memberi pengalaman penuh kepada pelanggan Taco Bell.
Pengunjung akan menikmati suasana menarik dengan hiasan ikonik seperti siling berwarna pelangi, ciri pencahayaan yang menawan, papan tanda yang cantik dan banyak lagi.
Seperti restoran Taco Bell yang lain, kedai itu merangkumi teater dapur terbuka di mana pelanggan boleh melihat bagaimana makanan mereka disediakan, akses WiFi berkelajuan tinggi dan percuma serta beberapa stesen pengecasan.
Namun, pengalaman dine-in hanya dibenarkan untuk individu yang sudah menerima vaksinasi penuh sahaja bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Pelanggan juga boleh memilih empat pilihan protein pada menu seperti daging lembu kisar, ayam kisar, ayam panggang dan kacang hitam.
“Akan ada lebih banyak lagi restoran Taco Bell yang akan dibuka dalam masa terdekat. Jadi ikuti perkembangan kami di laman web (www.tacobell.com.my) dan laman Instagram (@tacobellmalaysia) untuk maklumat terkini,” katanya. – UTUSAN










