Cabaran perkasa ekonomi digital - Utusan Malaysia

Cabaran perkasa ekonomi digital

MUSTAPA Mohamed berucap melancarkan Laporan Kajian Platform Ekonomi Baharu secara maya di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Teknologi termaju, pendigitalan dan keupayaan khusus menjadi antara cabaran besar kerajaan memperkasakan ekonomi digital dalam kalangan rakyat ketika ini.

Ia digariskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika berucap me­lancarkan Laporan Kajian Platform Ekonomi Baharu secara maya semalam.

“Cabaran pertama ialah, kita perlu memudah cara strategi pihak industri berimpak tinggi agar disesuaikan dengan teknologi terkini dan mencipta peluang kerja lebih berkualiti,” jelasnya.

Laporan itu dianjurkan Tech for Good Institute (TFGI), sebuah badan pemikir tanpa laba milik firma aplikasi terkenal Grab yang berpusat di Singapura dan ditubuhkan pada 4 Oktober lalu.

Penyelidikan iktisad itu turut disokong agensi juruperun­ding pengurusan ternama dari Amerika Syarikat, Bain & Company yang ditubuhkan pada 1973 lalu dengan cawangan di 58 negara.

Menjelaskan lebih lanjut, Mustapa berkata, cabaran itu turut dimasukkan sebagai pelan tindakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan misi pertumbuhan inklusif.

“Kerajaan malah menetapkan sasaran ekonomi digital menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir RMK12 pada 2025 kelak,” katanya.

Menyentuh cabaran utama yang dianggap getir, beliau ya­kin pemain bidang itu mampu mengadaptasi suasana teknologi termaju.

Justeru ujarnya, ia akan membantu misi cabaran kedua iaitu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) beralih kepada pendigitalan yang mampu melonjakkan produktiviti.

Apatah lagi, katanya, kerajaan menyasarkan 90 peratus daripada PKMS di Malaysia dapat mendigitalisasi operasi perniagaan mereka dan meningkatkan sumbangan kepada 45 peratus daripada KDNK.

“Cabaran ketiga pula kita kena ada lebih ramai bakat teknikal yang berkemahiran dengan menambah baik ekosistem Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET),” jelasnya.

Mustapa menambah, apabila usaha itu dicapai, cabaran keempat iaitu pembangunan yang inklusif dapat direalisasikan, sekali gus membantu golongan rentan, miskin tegar dan B40.

Segala cabaran itu katanya, tidak mustahil malah laporan TFGI juga mengakui prasarana digital dan pengadaptasian pengguna Malaysia amat kukuh di sebalik impak isu Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN