BNM lantik semula tiga ahli Majlis Penasihat Syariah - Utusan Malaysia

BNM lantik semula tiga ahli Majlis Penasihat Syariah

1mdb
MPC memutuskan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas setelah mengambil kira prospek pertumbuhan dalam negara yang terus berdaya tahan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (Bank) mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 November 2021.

Menurut bank pusat itu, pelantikan semula ahli-ahli MPS terbabit telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan seksyen (53)(1), Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Ahli-ahli yang dilantik semula ialah Mufti Selangor, Datuk Anhar Omar; Ketua Jaminan Kualiti, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Dr. Marjan Muhammad dan Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan, Zainal Abidin & Co. (Peguambela dan Peguamcara), Zainal Abidin Jamal.

“Dengan pelantikan semula ini, MPS dibarisi sembilan ahli yang berkelayakan dan berwibawa dalam kalangan cendekiawan syariah dan pengamal industri yang berpengalaman luas di dalam dan luar negara, terutamanya dalam bidang syariah, undang-undang serta ekonomi dan kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan.

Enam ahli MPS yang lain ialah:
1. Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar (Pengerusi MPS)

2. Ketua Pegawai Eksekutif ISRA International Consulting Sdn. Bhd., Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim (Timbalan Pengerusi MPS)

3. Pengarah Eksekutif ISRA, Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin.

4. Prof. Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali.

5. Bekas Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia (EAIC) dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk A. Aziz A. Rahim.

6. Bekas Ketua Unit Takaful ISRA, Burhanuddin Lukman.

BNM berkata, sebagai badan berautoriti tertinggi dalam penentuan hukum syarak berhubung kewangan Islam, MPS memainkan peranan penting bagi memelihara kepatuhan syariah dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam yang membolehkan perkhidmatan kewangan ditawarkan mengikut prinsip syariah.

Katanya, MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti-aktiviti atau transaksi-transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM.

“Sebagai badan berautoriti tertinggi, keputusan MPS menjadi sumber rujukan institusi-institusi kewangan Islam dalam memastikan semua perniagaan dan aktiviti serta produk dan perkhidmatan kewangan adalah mematuhi prinsip syariah.

“Selain itu, keputusan MPS juga menjadi rujukan mahkamah dan penimbang tara dalam mengendali dan memutuskan pertikaian atau kes-kes yang berkaitan kewangan Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×