PETALING JAYA: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menyokong usaha kerajaan meningkatkan perlindungan sosial dalam kalangan belia B40.
Menurut Allianz General, MOU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sean Wang dan Presiden MBM, Jufitri Joha, semalam.
Jelasnya, ia menggariskan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam menggalakkan belia B40 untuk mengambil Allianz PerlindunganKu oleh Allianz General di bawah Perlindungan Tenang, iaitu pelan insurans mampu milik kerajaan.
“Melalui kerjasama ini, belia yang layak mendapat Baucar Perlindungan Tenang (PTV), juga inisiatif kerajaan, digalakkan menggunakan baucar mereka untuk membeli polisi Allianz PerlindunganKu,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Sean berkata, belia perlu sedar bahawa mempunyai perlindungan insurans yang mencukupi adalah tentang memiliki ketahanan kewangan dan sosial.
“Semua orang berhak untuk dilindungi, dan mendapat perlindungan adalah seperti melabur dalam diri sendiri. Mereka harus bertanya kepada diri mereka, ‘adakah pelaburan ini bernilai?,” katanya. – UTUSAN










