Kes talian voltan tinggi terpelantik membimbangkan - TNB - Utusan Malaysia

Kes talian voltan tinggi terpelantik membimbangkan – TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes talian voltan tinggi terpelantik akibat kerja-kerja pembinaan berhampiran kawasan rizab talian Tenaga Nasional Berhad (TNB) melonjak tujuh kali ganda dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin, tahun lalu hanya mencatatkan satu kes namun, sepanjang tahun ini sehingga Oktober, kes terpelantik disebabkan kerja-kerja pembinaan oleh pemaju dalam rentis TNB melonjak kepada lapan kes.

“Kami khuatir jika ada lagi pemaju yang masih mengingkari nasihat kami untuk menjauhi rentis talian penghantaran TNB, kes pelantikan tahun ini kembali meningkat kepada dua digit seperti yang dilaporkan pada 2018 dengan 18 kes.

“Kes pelantikan bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa, malah mengganggu-gugat kestabilan dan keselamatan sistem grid nasional yang menyalurkan bekalan elektrik kepada hampir 9.5 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia, termasuk operasi sektor perindustrian dan perdagangan.

“Individu atau objek yang berada terlalu hampir dengan talian voltan tinggi boleh menyebabkan berlakunya percikan arka walaupun tiada sentuhan fizikal,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Husaini memaklumkan, bagi menangani isu ini, TNB telah mengambil pelbagai langkah proaktif seperti membuat pemantauan dan mengenalpasti projek tanpa kelulusan dan membuat rondaan sepanjang talian bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.

“Sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan juga dilakukan selain usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemaju dan penduduk sekitar melalui pengedaran risalah, pemasangan papan tanda amaran, penggunaan kamera keselamatan pintar, memasang penghadang had ketinggian sementara serta meletakkan penanda sempadan di kawasan rentis TNB,” ujarnya.

Menurut TNB, lebar rentis menara talian penghantaran adalah antara 20 meter ke 35 meter dari garisan tengah talian ke arah kiri dan kanan talian. Sebarang projek pembangunan hendaklah diawasi oleh Jurutera Kompeten Suruhanjaya Tenaga dan Pegawai Keselamatan.

Taklimat mengenai keselamatan di sekitar talian penghantaran telah dijalankan di ladang-ladang dan di kilang-kilang, selain dari pemasangan papan tanda keselamatan di kawasan kilang yang berada berhampiran dengan talian penghantaran, jelasnya.

Jelas TNB, di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), mana-mana pihak yang membuat aktiviti berhampiran dengan pepasangan elektrik tanpa kebenaran dan berkemungkinan mengganggu pepasangan elektrik tersebut atau menyebabkan bahaya kepada mana-mana orang atau harta, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Katanya, jenis-jenis aktiviti yang tidak dibenarkan di kawasan rentis dan berhampiran termasuk aktiviti permainan, rekreasi, riadah dan sukan, aktiviti menggunakan kren atau jentera berat, berlindung dan berteduh semasa cuaca buruk, melakukan pembakaran terbuka, dan membuang sampah.

Selain itu, aktiviti membina kolam dan mengorek lombong atau melebarkan atau pendalaman sungai, memasang tiang bendera dan membina struktur melebihi enam kaki, membawa galah aluminium dengan kaedah secara menegak melintasi talian penghantaran voltan tinggi serta membina dan menanam tapak semaian turut tidak dibenarkan.

Sekiranya terdapat insiden pencerobohan atau sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN