[Laporan Ekonomi] Unjuran graduan tidak selari dengan keperluan pasaran - Utusan Malaysia

[Laporan Ekonomi] Unjuran graduan tidak selari dengan keperluan pasaran

INSTITUSI pe­ngajian tinggi mungkin tidak dapat meme­nuhi keperluan pekerjaan masa hadapan dalam bidang tertentu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin tidak dapat memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan terutamanya dalam kategori pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran semasa pandemik.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang diterbitkan Kementerian Kewangan, kategori pekerjaan tersebut termasuk profesional pengiklanan dan pemasaran; penasihat kewangan dan pelaburan; pengarah urusan dan ketua eksekutif serta pakar digital dalam pembangunan perisian, data sains, perkhidmatan teknologi maklumat (IT), keselamatan digital dan e-dagang.

Walau bagaimanapun, laporan Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan bahawa daripada lebih 305,000 keluaran siswazah pada 2020, sejumlah 11.3 peratus merupakan siswazah dalam bidang sains, matematik dan komputer; kewangan , perbankan dan insurans (3.3 peratus) serta pemasaran dan pengiklanan (1.9 peratus).

Sehubungan itu, institusi tertiari mungkin tidak dapat memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan dan sebagai alternatifnya, pekerja mungkin perlu dilengkapi dengan kemahiran bagi pekerjaan masa hadapan melalui peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Kajian berdasarkan sumber Kementerian Pengajian Tinggi dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) dalam laporan itu mendapati, kekosongan dalam kategori pekerjaan profesional pengiklanan dan pemasaran berada pada tahap 41,900 orang manakala keluaran IPT hanya seramai 5,800 pada 2020, jurang sebanyak 7.2 kali ganda.

Begitu juga dengan profesional kewangan, perbankan dan insurans yang mencatatkan kekosongan 17,800 dan keluaran IPT seramai 10,100, jurang sebesar 1.8 kali ganda.

Untuk kategori pakar digital pula, kekosongan yang diperlukan adalah sebanyak 57,600 orang manakala keluaran IPT hanya 34,300, jurang sebanyak 1.7 kali ganda.

Laporan itu turut menjelaskan perspektif permintaan buruh yang dijangka berubah hasil dominasi automasi dan pendigitalan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya yang memetik Forum Ekonomi Dunia (WEF), pemesinan automatik menyumbang sebanyak 29 peratus daripada kerja yang disiapkan dan dijangka meningkat kepada 42 peratus pada 2022 dan 52 peratus menjelang 2025.

“Dalam erti kata lain, lebih daripada separuh tugasan kerja akan diautomasi sepenuhnya dan disiapkan oleh mesin dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

“Justeru, syarikat dan organisasi perlu mula mengubah suai perancangan masa hadapan untuk memenuhi trend tersebut dengan meningkatkan pelaburan sumber dalam bidang automasi dan teknologi yang merupakan norma baharu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN