Syarikat penerbangan berisiko gagal capai sasaran sifar karbon - Utusan Malaysia

Syarikat penerbangan berisiko gagal capai sasaran sifar karbon

PERUBAHAN iklim dijangka memberi kesan kepada syarikat penerbangan global untuk mencapai sasaran sifar pelepasan karbon menjelang 2050. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Beberapa syarikat penerbangan berisiko menuju kegagalan jika tidak berjaya mengurangkan pelepasan karbon dengan lebih cepat dalam tempoh tiga ke lima tahun ini.

Menurut laporan industri, ia berikutan ketidakpadanan antara sasaran penerbangan korporat jangka pendek de­ngan sasaran sifar pelepasan bersih menjelang 2050 oleh industri penerbangan.

Laporan oleh Pusat CAPA untuk Penerbangan dan Envest Global yang diterbitkan semalam turut memberi amaran peningkatan risiko aktivisme pemegang saham apabila pengurus dana untuk syarikat-syarikat penerbangan seperti BlackRock Inc., Vanguard Group Inc. dan State Street Corp. menyatakan kebimbangannya tentang perubahan iklim secara umum.

Pengarah Eksekutif Penasihat Envest, David Wills berkata, pelanggan, kerajaan serta pelabur mungkin mahukan sasaran pelepasan sifar bersih oleh syarikat-syarikat penerbangan dipercepat.

“Ini jelas akan memberikan tekanan kepada syarikat pe­nerbangan.

“Keadaan menunjuk­kan sya­ri­kat penerbangan yang tidak berjaya (menuju sasaran tersebut) berada dalam situasi berpotensi menuju kegagalan,” katanya.

Beberapa syarikat seperti HSBC Holdings Plc., Zurich Insurance Group Ltd., Bain & Company dan S&P Global Inc. telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan pelepasan akibat penerbangan perniagaan sehingga 70 peratus dengan segera.

Ketua Eksekutif Qantas Airways, Alan Joyce minggu lalu berkata, syarikatnya sedang membangunkan sasaran pelepasan menjelang 2030.

Pengarah Eksekutif Pelaburan Envest, Brett Mitsch berkata, syarikat penerbangan yang bijak tidak hanya me­ngusahakan sasaran sehingga 2050 sebaliknya turut meningkatkan pandangan definitifnya untuk 2030.

“Ini kerana mereka perlu mengadakan lebih banyak libat urus dengan pelanggan korporatnya,” katanya.

Laporan CAPA/Envest mendapati satu perempat syarikat terbaik daripada 52 syarikat penerbangan global dalam tinjauannya melepaskan purata 30 peratus kurang karbon setiap penumpang, setiap kilometer pada 2019 berbanding satu perempat syarikat terbawah.

Syarikat tambang rendah seperti Wizz Air, Ryanair dan AirAsia dengan pesawat baharu dan faktor muatan lebih tinggi merupakan antara syarikat terbaik, sementara yang terburuk termasuk Turkish Airlines, Japan Airlines Co. Ltd. dan British Airways. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN