KUALA PILAH: Bagi pengguna jalan raya yang biasa melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah berdekatan dengan Ulu Bendul dekat sini, mungkin akan perasan sebuah rumah kecil berwarna biru di atas sebidang tanah lapang di Kampung Ulu Bendul dekat sini.
Rumah itu didiami seorang warga emas, Sapiah Keweh, 77, dan seorang anaknya, Jamaluddin Subuh, 50, yang masih lagi bujang.
Sebelum ini, kedua-dua beranak itu tinggal di bahagian bawah sebuah rumah pusaka selepas mereka berdua tidak berani untuk mendiami di bahagian atas rumah tersebut kayunya yang sudah lapuk dan reput.
Lebih memilukan, rumah usang itu juga tanpa kemudahan tandas yang selesa, malah Sapiah yang mempunyai masalah kesakitan di bahagian lutut hanya mampu mengensot untuk ke mana-mana kerana kesakitan yang dialaminya itu.
Kisah mereka itu dilaporkan akhbar ini pada Mac lalu yang kemudiannya mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau kemudiannya menyalurkan peruntukkan sebanyak RM30,000 kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti untuk pembinaan sebuah rumah baharu di tanah milik warga emas itu, seperti yang telah siap ketika ini.
Prihatin dengan kesukaran yang dialami Sapiah dan anaknya itu, Program Jelajah Ikhlas Bersama CSR anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB), tampil memberikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan makanan asas.
Lawatan ke rumah keluarga tersebut baru-baru ini turut disertai oleh Pengarah Urusan MMSB, Azlan Jaafar yang sekali gus menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Sapiah.
Warga emas itu ketika ditemui, memaklumkan rasa terharunya dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya terutama bagi mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa.
“Alhamdulillah, ramai yang datang membantu, saya juga selesa tinggal di rumah baharu ini, lebih luas dan memudahkan saya sedikit untuk bergerak termasuk menggunakan kerusi roda yang ada,” katanya.

Jelajah Ikhlas Bersama CSR di Negeri Sembilan turut mengunjungi seorang pesakit kanser limfoma tahap tiga, Shamsulrizal Ahmad Mustafa, 41, di Kampung Sungai Beringin, Pedas, Rembau.
Kisah bapa kepada lima anak berusia setahun hingga 13 tahun itu pernah disiarkan pada 11 Julai lalu selepas dia hilang pendapatan apabila bengkel besi diusahakannya tidak boleh beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih memeritkan, dia kemudiannya pula disahkan menghidap kanser dan perlu berulang-alik menjalani rawatan kemoterapi di hospital.
Prihatin dengan nasib dialaminya, Program Jelajah Ikhlas Bersama CSR turut tampil memberikan sumbangan yang disampaikan oleh wakil Utusan Malaysia di Negeri Sembilan, Badrul Hafizan Mat Isa.
Suami kepada Norhafizah Mohd. Sheriff itu memberitahu, wang tunai hasil sumbangan menerusi program berkenaan akan digunakan sebahagiannya sebagai modal membeli anak ikan untuk diternak di sebuah kolam yang telah dibinanya di hadapan rumah.
“Alhamdulillah, sumbangan ini boleh saya gunakan sebagai modal membeli anak ikan. Selebihnya saya simpan untuk kegunaan kami sekeluarga memandangkan saya kini tidak boleh melakukan kerja berat di bengkel besi,” katanya.
Sila layari Facebook Utusan Online & Kosmo Online untuk menonton video penuh program Jelajah Ikhlas pada 15 Oktober 2021, pukul 12 tengah hari. – UTUSAN