Perintis perkembangan pelaburan patuh syariah - Utusan Malaysia

Perintis perkembangan pelaburan patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT Sheikh Safiyyur Rahman al-Mabarakfuri dalam kitabnya Ar-Rahiq AlMakhtum, Nabi Muhammad SAW, telah berhijrah bersama sahabat baginda Sayidina Abu Bakar as-Siddiq pada tanggal 1 Rabiulawal. Perjalanan dari Mekah ke Madinah ini menjadi titik permulaan penting penyebaran Islam ke serata pelosok dunia. Tahun perjalanan hijrah tersebut telah diabadikan oleh Sayidina Umar alKhattab, sebagai tahun pertama takwim hijri bagi umat Islam.

Genap 1443 tahun selepas peristiwa hijrah tersebut, pada tanggal 1 Rabiulawal bersamaan 8 Oktober 2021, satu lembaran sejarah telah tercipta di Malaysia. Walaupun tidak setanding dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW, ia merupakan satu titik permulaan yang penting  bagi industri kewangan Islam di Malaysia. Pada hari tersebut, Bank Islam Malaysia Berhad telah menjadi satu-satunya institusi perbankan Islam pertama disenaraikan secara langsung di Bursa Malaysia, apabila ia mengambil alih status penyenaraian BIMB Holdings Berhad.

Berdasarkan senarai sekuriti patuh syariah Suruhanjaya Sekuriti, setakat 28 Mei 2021, Bursa Malaysia hanya mempunyai tiga syarikat perkhidmatan kewangan patuh syariah iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Bursa Malaysia Berhad dan BIMB Holdings Berhad. Jumlah ini sangat kecil berbanding dengan syarikat perkhidmatan kewangan konvensional iaitu sebanyak 30 institusi.

Walaupun penyenaraian Bank Islam tidak mengubah jumlah syarikat perkhidmatan kewangan patuh syariah di Bursa Malaysia, namun ia boleh menjadi perintis  untuk lebih banyak institusi perbankan Islam dan syarikat perkhidmatan kewangan patuh syariah yang lain untuk disenaraikan. Apabila ini berlaku, para pelabur terutamanya institusi-institusi pengurus dana pelaburan patuh syariah akan berpeluang melabur di dalam syarikat-syarikat kewangan patuh syariah bagi mendapatkan pulangan yang lebih berdaya saing.

Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melancarkan skim simpanan syariah semenjak 2016. Namun sejak dilancarkan, dividen skim tersebut masih belum dapat menyaingi dividen skim simpanan konvensional. Antara kemungkinannya adalah kerana kepelbagaian dalam peluang pelaburan di dalam institusi perkhidmatan kewangan yang patuh syariah tidak sebanyak pelaburan konvensional.

Dengan adanya lebih banyak syarikat yang berstatus syariah tersenarai di Bursa, terutamanya di dalam sektor perkhidmatan kewangan, kebarangkalian untuk simpanan syariah KWSP mencapai kadar dividen yang berdaya saing dan setara dengan dividen simpanan konvensional akan menjadi lebih tinggi. Secara tidak langsung, ini berupaya menggalakkan lebih ramai pencarum KWSP untuk berhijrah daripada simpanan konvensio nal kepada simpanan syariah.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN