Pengusaha bot pelancongan di Langkawi mahu bangkit semula - Utusan Malaysia

Pengusaha bot pelancongan di Langkawi mahu bangkit semula

PENGUSAHA bot bergantung kepada kedatangan pelancong ke Langkawi untuk membolehkan mereka terus `hidup.'
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEJAK Covid-19 mula melanda negara dan dunia pada Mac 2020, pengusaha bot pelancongan di Langkawi menjadi antara industri yang paling terjejas.

Bagaimanapun, pelaksanaan projek rintis gelembong pelancongan Langkawi pada 16 September 2021 lalu memberi sinar baharu kepada pemain industri di pulau peranginan itu termasuk pengusaha bot pelancongan untuk bangkit semula.

Ini kerana, menurut Pengerusi Persatuan Bot Pelancong Jeti Pelancongan Pekan Rabu, Rezam Saad, seramai 70 pengusaha bot pelancongan yang memiliki kira-kira 600 buah bot terpaksa menanggung kerugian mencecah RM60 juta sejak setahun lalu.

“Macam saya sendiri ada 10 buah bot, bermakna saya seorang kerugian lebih kurang RM1 juta setahun untuk sebuah bot,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, NUR AMALINA AZMAN, di Langkawi, Kedah baru-baru ini.

REZAM SAAD

UTUSAN: Berapakan jumlah bot yang beroperasi di Langkawi?

REZAM SAAD: Kita menganggarkan lebih kurang 600 buah bot pelancong yang dimiliki oleh seramai 70 pengusaha bot tersebut yang beroperasi di enam buah jeti pelancongan di Langkawi.

Jeti tersebut adalah Jeti Teluk Baru, Jeti Pelancongan Pekan Rabu, Jeti Kubang Badak, Jeti Tanjung Rhu, Jeti Marble dan Jeti Kilim. Bagi Jeti Teluk Baru dan Jeti Pekan Rabu, ia digunakan bagi lawatan pulau-pulau (island hopping), manakala jeti-jeti lain adalah bagi lawatan ke kawasan bakau di Kilim.

Persatuan bot pelancong di Langkawi adalah mengikut jeti di mana bot dilabuhkan. Contohnya di Pekan Rabu ini, ada 10 orang pemilik bot yang berdaftar dengan persatuan yang melibatkan 60 buah bot pelancong. Walau bagaimanapun, disebabkan Covid-19, kini tinggal kurang daripada 15 buah bot yang masih ada beroperasi di sini.

Apakah perkhidmatan menarik yang ditawarkan oleh pengusaha bot kepada pelancong?

Dalam pakej lawatan pulau-pulau, pengunjung akan dibawa melawat ke tiga buah pulau. Pulau pertama adalah Pulau Dayang Bunting, di mana pengunjung boleh mandi dan beriadah di dalam kolam air tawar yang di kelilingi laut. Kemudian pengunjung akan dibawa melihat burung helang diberi makan di Pulau Singa Besar, seterusnya mandi-manda di Pulau Beras Basah yang terkenal dengan kejernihan airnya.

Bagi perkhidmatan melawat ke kawasan bakau, pengunjung akan dibawa menyusuri Sungai Kilim untuk melihat kawasan bakau air masin. Di situ terdapat formasi batuan kapur dengan bentuk-bentuk menarik, melawat ke Gua Kelawar, dan memberi makan ikan pari di restoran terapung yang terdapat di situ.

Harga pakej untuk lawatan pulau dan kawasan bakau yang ditawarkan sekarang ialah antara RM200 hingga RM350 bagi sebuah bot.

Berapakah jumlah pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot pada 2019, 2020 dan 2021?

Pada 2019, dianggarkan lebih kurang 60,000 pelancong menggunakan Jeti Pelancongan Pekan Rabu setiap bulan, atau 2,000 orang sehari secara purata. Waktu itu, ada bot yang boleh mencapai empat perjalanan sehari berbanding dua perjalanan sehari pada hari biasa.

Bahkan, ada juga pengusaha bot yang menukar bot kecil yang memuatkan 10 orang kepada bot yang boleh memuatkan 20 orang berikutan pengunjung terlalu ramai.

Pada 2020 hingga sekarang, jumlah pengunjung amat menyedihkan. Jeti Pekan Rabu terletak di Kuah, yang kurang menjadi tumpuan untuk aktiviti air berbanding di Jeti Teluk Baru yang berhampiran dengan Pantai Chenang.

Sekarang ini pun, mungkin ada tiga ke empat perjalanan sahaja sehari. Ada hari tiada perjalanan langsung. Tambah menyedihkan, bagi setiap bot yang memuatkan 10 orang pengunjung, kebanyakannya hanya menerima purata empat orang sahaja untuk setiap bot.

Ini bermakna, jumlah pengunjung yang masuk ke sini sejak PKP dilaksanakan sehari adalah lebih kurang 16 orang sahaja, kurang satu peratus daripada jumlah pelancong pada 2019.

Sejak PKP mula berkuat kuasa pada Mac 2020 hingga pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lalu, berapakah nilai kerugian yang ditanggung oleh pengusaha bot di Langkawi?

Sebuah bot yang biasanya memerlukan lebih kurang RM100,000 setahun untuk kos penyelenggaraan. Kos penyelenggaraan paling banyak melibatkan enjin iaitu selenggara berkala dan alat gantian yang perlu ditukar secara berkala. Selalunya bila musim ribut, ada sesetengah bot yang akan pecah apabila berlanggar dengan bot lain atau jeti itu sendiri.

Jadi kita boleh anggarkan kerugian yang dialami oleh pengusaha bot adalah sekurang-kurangnya RM100,000 setahun bagi sebuah bot dalam tempoh setahun ini.

Macam saya sendiri ada 10 buah bot, bermakna saya seorang kerugian lebih kurang RM1 juta untuk sebuah bot. Kalau diambil anggaran 600 buah bot yang terdapat di Langkawi, maknanya jumlah kerugian bagi pengusaha bot pelancong di Langkawi sahaja adalah mencecah RM60 juta dalam tempoh tersebut.

Apakah langkah yang diambil oleh pengusaha-pengusaha bot untuk mengelakkan mereka menanggung kerugian besar atau gulung tikar akibat ketiadaan pelancong dalam tempoh tersebut?

Kebanyakan pengusaha bot di Pulau Langkawi beralih kepada aktiviti menanam sayur, atau terlibat dalam aktiviti perikanan bagi memastikan mereka mampu menyara keluarga masing-masing. Macam saya sendiri, disebabkan saya mempunyai tanah, saya mengusahakan kebun menanam jagung dan nanas untuk menampung keperluan harian.

Bagi yang beralih kepada aktiviti perikanan, mereka terpaksa berdepan dengan risiko untuk disaman kerana lesen mereka bukanlah untuk aktiviti tersebut. Tapi ada yang tetap melakukannya kerana tidak mempunyai jalan lain untuk mencari rezeki.

Berapakah kos yang diperlukan oleh setiap pengusaha bot untuk memulakan semula operasi selepas begitu lama bot mereka melabuhkan sauh?

Kos bagi sebuah bot untuk memulakan semula operasi adalah kira-kira RM10,000. Kos tersebut biasanya melibatkan alat ganti enjin, selenggara enjin, memperbaiki badan bot yang sudah rosak kerana terkena panas apabila dibawa keluar daripada air. Ada pemilik yang kehilangan banyak alat gantian di dalam bot semasa PKP tahun lalu kerana dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Bagi mereka ini, kos adalah lebih tinggi untuk membeli alat ganti baharu yang sepatutnya boleh diselenggara sahaja.

Bagi mendapat modal pula, ada sesetengah pengusaha mempunyai bot yang banyak, menjual sebahagiannya. Hasil jualan itu digunakan untuk menampung kos memulakan semula operasi. Bagi saya yang mempunyai hasil sampingan daripada kebun jagung dan nanas pula, hanya mampu memulakan operasi untuk tiga buah bot sahaja, dan selebihnya masih tersadai di rumah kerana tidak mempunyai modal untuk menyelenggara kesemuanya.

Pada 2022, dijangkakan berapa jumlah peningkatan pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot dan apakah persediaan pengusaha bot untuk menerima kehadiran pelancong yang dijangka meningkat?

Kalau diikutkan pada keadaan sekarang, kami tidak menjangkakan akan ada kenaikan pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot di Pekan Rabu. Jeti Teluk Baru yang dikatakan menerima banyak pelancong berbanding di sini juga tidaklah begitu ramai sehingga boleh menandingi seperti sebelum PKP.

Lagi pun, industri pelancongan adalah sektor yang paling terjejas dan paling lambat akan pulih kerana ada yang masih takut-takut untuk keluar melancong. Jadi buat masa ini tiada apa persediaan yang dibuat, hanya menunggu pengumuman daripada kerajaan mengenai perubahan baharu sekiranya ada.

Adakah kerajaan perlu melaksanakan projek rintis gelembung pelancongan antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong dari luar negara ke Langkawi?

Pemain industri pelancongan menyambut baik sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan termasuk membuka pintu Langkawi kepada pelancong luar negara dalam usaha membantu golongan tersebut bangkit semula selepas terjejas teruk sejak tahun lalu.

Saya percaya industri pelancongan di Langkawi akan kembali ‘hidup’ selepas begitu lama lumpuh dengan kehadiran lebih ramai pelancong termasuk luar negara.

Kami juga berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melakukan promosi yang lebih hebat untuk menggalakkan lebih ramai yang berkunjung ke pulau legenda ini selepas ini.

Pada masa sama, kerajaan perlu mempertingkat prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung untuk mengelakkan berlaku peningkatan kes Covid-19 di Langkawi yang berpunca daripada pelancong. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN