Penawaran jawatan meningkat, ekonomi negara di landasan pemulihan - Utusan Malaysia

Penawaran jawatan meningkat, ekonomi negara di landasan pemulihan

PENINGKATAN tawaran pekerjaan pada suku kedua tahun ini, petanda ekonomi negara di landasan pemulihan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran buruh negara bertambah baik apabila sebanyak 90,502 pekerjaan telah ditawarkan secara dalam talian bagi suku kedua tahun ini berbanding 19,169 pekerjaan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peningkatan kekosongan jawatan yang diiklankan memberi gambaran ekonomi negara berada di landasan yang betul ke arah pemulihan pada suku tahun akan datang sekiranya Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan berjaya mengurangkan impak pandemik dan seterusnya memulihkan ekonomi negara.

Ujarnya, sebilangan besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori Profesional (50.8 peratus), diikuti oleh pekerja kategori Juruteknik dan Profesional Bersekutu (19.2 peratus) dan Pengurus (18.4 peratus).

“Daripada jumlah itu, lima kategori pekerjaan tertinggi adalah profesional pengiklanan dan pemasaran; profesional bersekutu pentadbiran; pengarah urusan dan ketua eksekutif; akauntan dan juruaudit dan pembangunan perisian.

“Ini adalah hasil usaha Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kerana telah mengambil inisiatif untuk membangunkan aplikasi pintar yang berteraskan ciri-ciri interaktif dan mesra pengguna bagi menambah nilai data buruh dalam pangkalan data yang dikenali sebagai Labour Market Information Data Warehouse,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap melancarkan laporan dan maklumat Landskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia bagi Suku Kedua 2021 dari Analisis Data Raya: Job Market Insights dan My Job Profile secara maya, hari ini.

Menurut Mustapa, Penerbitan Analisis Data Raya, Job Market Insights dan My Job Profile oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah satu inisiatif yang relevan bagi meningkatkan kecekapan pasaran buruh di negara ini.

“Dalam usaha negara pulih dari pandemik Covid-19, data-data yang dijana akan menjadi rujukan penting pelajar, graduan, pencari pekerjaan dan yang sedang menganggur bagi merancang kerjaya dan masa depan mereka.

“Analisis Data Raya ini dilengkapi dengan elemen interaktif dan visual yang menarik serta mudah difahami oleh pemegang taruh. Ini akan membantu pemegang taruh merancang program berkaitan pembangunan kerjaya dan pembangunan kemahiran yang diperlukan dengan lebih baik,” ujarnya.

Jelas beliau, inisiatif ini juga diharap dapat menangani masalah struktur dalam pasaran buruh yang telah mengakibatkan penggunaan bakat tempatan yang tidak optimum.

“Ini kerana, mengikut data terkini, sebanyak 37.7 peratus pekerja yang mempunyai pendidikan tertiari dan bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah pada suku kedua tahun ini,” ujarnya.

Justeru jelasnya, keadaan ini telah mendorong kerajaan, swasta dan seluruh masyarakat meningkatkan usaha menguasai teknologi digital selaras dengan inisiatif MYDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“Antara trend yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat adalah pertambahan dalam bilangan pekerja gig dan peningkatan permintaan tenaga berkemahiran digital.

“Kerajaan amat menyedari kepentingan Analisis Data Raya dalam memberi maklumat digital kepada rakyat terutama semasa kita menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi, maklumat pekerjaan di Malaysia seperti Job Market Insights dan My Job Profile amat relevan.

“Di samping itu, pembangunan Job Market Insights dan My Job Profile juga adalah selaras dengan Dasar Digital Negara untuk membentuk ekosistem ekonomi digital yang inklusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN