
Sejak negara melalui fasa peralihan endemik, gaya hidup dan trend pasaran sekali lagi berubah. Begitu juga demi kelestarian ekonomi. Setelah sektor perniagaan dan industri diberi kebenaran beroperasi, setiap pengusaha kini amat berharap agar setiap usaha dapat dilaksana dan diperkemas untuk berkembang maju. Kini juga merupakan masa untuk memfokuskan kelebihan perniagaan dalam menjana tarikan pelanggan serta kekuatan pasaran.
Setiap perniagaan perlu menilai kembali strategi dan pelaksanaan yang lebih efektif. Antara elemen yang perlu diperhalusi dalam pengukuhan pemasaran adalah faktor 7P yang selaras dengan tuntutan industri serta motivasi pasaran. Pemerkasaan 7P dalam perlaksanaan pemasaran digital dapat membantu pengukuhan prospek pelanggan atas landasan pasaran yang bersesuaian dengan aspirasi perniagaan.
Produk (Product) – Cabaran endemik turut memaksa sebahagian besar perniagaan untuk memastikan kualiti terhadap produk atau perkhidmatan. Masyarakat pada hari ini lebih berhati-hati dalam memilih produk yang berkualiti sebagai tunggak kepuasan pengguna. Produk yang value for money dan memenuhi tanggapan pengguna mampu menjadi faktor perbualan ramai di ruangan digital hari ini.
Harga (Price) – Realiti endemik turut menyaksikan sebilangan besar perniagaan yang terpaksa berhadapan dengan penentuan harga yang kompetitif disebabkan kenaikan kos atau berkurangnya permintaan disebabkan krisis pandemik. Tawaran harga yang menarik turut menjadi percaturan dalam setiap promosi dan periklanan secara dalam talian bagi merangsang lebih banyak permintaan serta menyokong pengukuhan potensi pasaran yang lebih baik.
Lokasi (Place) – Penumpuan lokaliti pasaran bagi menjana pelanggan dalam komuniti tertentu juga menjadi kepentingan terutama bagi perniagaan yang bergantung kepada urusniaga secara fizikal serta disokong dengan elemen pemasaran digital melalui platform seperti media sosial. Pengukuhan platform e-dagang dan Marketplace juga menjadi landasan penting sebagai ‘kedai online’ dalam memperkukuh capaian pelanggan dalam pasaran era digital.
Promosi (Promotion) – Fasa endemik ini juga merupakan masa perniagaan mengambil peluang untuk melakukan promosi yang lebih giat. Pelaksanaan promosi serta kempen-kempen pemasaran strategik perlu diperhebatkan bagi merangsang tarikan pelanggan. Pelbagai saluran boleh dimanfaatkan untuk capaian prospek pasaran sama ada platform tradisional dan digital atau mengintegrasikan keduanya selaras dengan objektif perniagaan.
Bukti Fizikal (Physical Evidence) – Selaras dengan penjenamaan, bukti fizikal juga antara elemen yang menyokong pengukukuhan kredibiliti dan authoriti pasaran. Ia merangkumi elemen seperti logo, bungkusan produk, risalah serta penerampilan digital seperti pemasaran kandungan melalui laman web dan media sosial dalam membina engagement pelanggan. Bukti fizikal ini membantu membina kepercayaan terhadap produk dan perkhidmatan serta berperanan memperluaskan lagi tarikan pasaran fasa endemik ini.
Sumber Manusia (People) – Memastikan kekuatan perniagaan dengan mengambilkira peranan sumber manusia yang kompeten merangkumi komunikasi pengurusan sehingga keseluruhan operasi menjadi aset penting perniagaan. Fasa endemik juga merupakan fasa pemasaran berteraskan perhubungan digital dan berorientasikan kehendak pelanggan. Kewibawaan sumber manusia perlu ditambah baik dalam memenuhi keperluan pasaran melalui produktiviti, komunikasi dan khidmat yang efisien dalam setiap urusniaga.
Proses (Process) – Memahami pengalaman pelanggan dan pengguna terhadap keputusan pembelian juga adalah proses yang perlu dititikberatkan. Ia penting dalam memastikan keberkesanan strategi pemasaran bagi memperkukuh hubungan emosi pelanggan setia yang membantu untuk terus relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Justeru itu, pemerkasaan 7P menjadi asas penting yang kini semakin dipraktikkan dalam mendepani cabaran pasaran fasa endemik. Melalui perangkaan dan pelaksanaan strategi yang terancang mampu meningkatkan keberkesanan dalam setiap kempen pemasaran serta memperkukuh potensi perniagaan yang lebih mampan.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN









