Pelan takaful motor anjal pertama negara - Utusan Malaysia

Pelan takaful motor anjal pertama negara

PERLINDUNGAN harian PAYD memberikan pelanggan keanjalan untuk mengaktifkannya sehari sebelum mereka memandu dan dikenakan bayaran hanya pada hari mereka memandu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (STMAB) melancarkan Takaful myClick Motor FlexiSaver, pelan takaful motor anjal pertama negara dengan perlindungan harian Pay As You Drive (PAYD).

Pengerusi Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMKB), Datuk Mohammed Hussein berkata, pelan Takaful myClick Motor FlexiSaver merupakan pilihan terbaik memandangkan ia bersesuaian dengan keperluan kewangan serta memberi perlindungan bagi mereka yang jarang memandu atau memiliki beberapa kereta.

Kata beliau, perlindungan harian PAYD memberikan pelanggan keanjalan untuk mengaktifkannya sehari sebelum mereka memandu dan dikenakan bayaran hanya pada hari mereka memandu sahaja.

“Pelan perlindungan yang fleksibel adalah masa hadapan sektor insurans dan takaful. Menawarkan produk insurans dan takaful dalam ruang mobiliti baharu yang mudah, fleksibel dan berdasarkan penggunaan merevolusikan industri.

“Ini bermakna, pengguna mempunyai pilihan untuk membuat keputusan dan membayar hanya perlindungan yang mereka perlukan apabila perlu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pelan takaful anjal tersebut dilancarkan dalam satu majlis maya baru-baru ini yang dianjurkan oleh STMAB bersama rakan teknologinya, Fusionex.

Menurut STMAB yang merupakan cabang takaful am kepada STMKB, Takaful myClick Motor FlexiSaver ialah pelan takaful motor dalam talian yang menyediakan perlindungan setahun untuk kehilangan atau kerosakan pada kenderaan anda akibat kebakaran atau kecurian, serta kecederaan anggota badan, kematian atau kerosakan harta benda pihak ketiga.

Katanya, pelan itu ditawarkan melalui portal jualan dalam talian Takaful Malaysia dan aplikasi mudah alih Click for Cover dan ia menyediakan program bantuan bahu jalan 24 jam untuk khidmat tunda kerosakan tanpa had dan pembaikan kecil di bahu jalan.

Ketua Pegawai STMAB, Mohamed Sabri Ramli berkata, PAYD menampilkan ciri unik yang membezakan pelan tersebut dengan insurans motor dan pelan takaful lain.

Kata beliau, pengaktifan PAYD boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih bagi memudahkan proses pendaftaran, selaras dengan strategi digital STMAB untuk meningkatkan kebolehcapaian produk dan perkhidmatan.

“Takaful myClick Motor FlexiSaver dengan PAYD juga mempelbagaikan tawaran produk Takaful Malaysia dan menyediakan nilai proposisi untuk pengguna pada umumnya.

“Langkah strategik Takaful Malaysia untuk memperkenalkan pelan takaful motor ini akan memberi pendapatan baharu dan peluang penghasilan nilai bagi syarikat untuk terus berada di hadapan dan kekal berdaya saing dalam pasaran insurans serta takaful motor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN