Pekasam D'Rio sedia masuki Shopee, pasar raya hiper - Utusan Malaysia

Pekasam D’Rio sedia masuki Shopee, pasar raya hiper

NUR Syazwani Amran (kiri) bersama adiknya menunjukkan produk ikan pekasam D'Rio yang diusahakan keluarga mereka ketika ditemui di Parit Gabis Atas, Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS BAGAN SERAI 9 OKTOBER 2021: NUR Syazwani Amran (kiri) bersama adiknya menunjukkan produk ikan pekasam D'Rio yang usahakan keluarga mereka ketika ditemui di Parit Gabis Atas, Bagan Serai. - PEMBERITA dan GAMBAR: WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Menyedari sambutan baik produk hiliran berasaskan ikan, seorang pengasas produk ikan pekasam di sini, mahu menerokai pasaran lebih luas termasuk secara atas talian seperti melalui aplikasi Shoppe.

Amran Ahmad, 54, yang mengasaskan produk ikan pekasam jenama D’Rio, berkata, dia turut mengintai peluang untuk produknya menembusi pasaran pasar raya hiper.

Katanya, ini berdasarkan sambutan pelanggan yang semakin meningkat terhadap produk keluaran syarikatnya.

“Mungkin 20 tahun lalu orang kampung membuat ikan pekasam  untuk kegunaan mereka sendiri, namun keadaan berubah sejak 10 tahun kebelakangan apabila produk hiliran ini sudah mampu menembusi menembusi pasaran dalam dan luar negara.

“Sebagai pemain baharu dalam menghasilkan produk hiliran ini, saya perlu menghasilkan produk yang berkualiti, mempunyai jenama sendiri dan menambah baik cara pembungkusannya.

“Strategi pemasaran juga perlu mengikut perkembangan teknologi semasa supaya produk yang dihasilkan mampu berkembang jauh mengikut kehendak pengguna masa ini,” katanya ketika ditemui di Parit Gabis dekat sini.

Menurutnya, perniagaannya itu bermula daripada sekadar hobinya yang gemar mencari ikan dan lebihan hasil tangkapan dijadikan ikan pekasam.

Katanya, dia mempelajari resepi membuat ikan pekasam daripada emaknya.

“Proses membuat ikan pekasam dibuat secara tradisional namun untuk tujuan komersial, saya melakukan pembaharuan dalam kaedah memproses bagi menghasilkan ikan pekasam yang mempunyai aroma tersendiri,” katanya.

Sementara itu, pengurus syarikat Pekasam D’Rio, Nur Syazwani Amran, 21, berkata, dia menggunakan kaedah digital bagi meluaskan pasaran produk syarikat milik keluarganya.

Menurutnya, produk syarikat itu dipromosikan untuk jualan di Facebook, Whatsapp, Instagram dan aplikasi TikTok.

“Menerusi platform media sosial Facebook Amran Ahmad, produk kami dipasarkan di seluruh negara termasuk ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, syarikat juga sentiasa menjaga kualiti produk terutama mengekalkan aroma ikan pekasam dengan membungkusnya dalam paket yang lebih ceria agar nampak lebih cantik.

“Kini kami mencari ruang untuk bertapak dalam pasaran digital secara atas talian seperti Shoppe dan mencari pasaran dalam pasar raya hiper,” katanya.

Mengenai cabaran, Nur Syazwani  berkata, bekalan ikan mentah yang tidak menentu dan saingan daripada pengeluar produk hiliran yang hampir sama, merupakan antara cabaran yang perlu mereka dihadapi.

Katanya, namun dia menganggap perkara itu sebagai cabaran yang positif dan terus memperbaiki produk dan pasaran.

“Produk kami mendapat permintaan yang tinggi cuma ada masanya bekalan ikan tidak menentu menyebabkan sukar untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya