PETALING JAYA: Lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) yang mencapai paras tertinggi dalam sejarah mungkin hanya sementara, menurut RHB Research.
Penganalisisnya, Hoe Lee Leng berkata, ia berikutan jangkaan asas bekalan pada tahun hadapan akan meningkat dengan harga MSM menyederhana pada 2022.
Kata beliau, harga MSM terus kekal tinggi dan melepasi paras RM5,000 setiap tan baru-baru ini walaupun tiada perubahan yang fundamental untuk mencetuskan kenaikan tersebut selain pergerakan harga minyak mentah.
“Risiko-risiko utama pada tesis (jangkaan) ini ialah mengharungi ketaknormalan. Walau bagaimanapun, harga saham buat pertama kali pada tahun ini mula bergerak selari dengan harga MSM.
“Kami percaya sekarang merupakan masa yang sesuai untuk memanfaatkan peningkatan ini dan menunggu peluang keemasan untuk mendapatkan keuntungan,” katanya dalam nota kajiannya semalam.
Menurut Lee Leng, keluaran MSM Malaysia mendatar pada September manakala stok jatuh tujuh peratus kepada 1.75 juta tan.
Mengekalkan wajaran rendah terhadap sektor tersebut, beliau menasihati para pelabur untuk memanfaatkan peningkatan harga MSM yang mencapai paras puncak dan mencari peluang yang ada untuk menjual saham pada harga tinggi kerana pihaknya masih menjangkakan harga akan meningkat.
“Kami mempunyai saranan sektor selama 12 bulan dan masih percaya bahawa perolehan akan merendah ekoran daripada peningkatan asas dan penyederhaan harga pada tahun kewangan 2022.
“Sementara itu, kebimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan masih menjejaskan penilaian sektor,” katanya.
Lee Leng bagaimanapun mengakui, pihaknya mungkin perlu mengkaji andaian harga 2022 mereka semula jika harga kekal tinggi pada tempoh lebih lama daripada jangkaan.
Harga MSM melepasi paras RM5,000 setiap tan pada 8 Oktober lalu pada RM5,021 setiap tan sebelum terus meningkat kepada RM5,080.50 kelmarin.
Harga tersebut merupakan paras tertinggi dalam sejarah dan harga komoditi utama negara itu kekal berada di atas paras RM4,000 setiap tan sejak 13 Julai lalu. – UTUSAN










