MBSA, Nestlé bekerjasama program kitar semula - Utusan Malaysia

MBSA, Nestlé bekerjasama program kitar semula

MAJLIS perasmian program kitar semula BMSA dengan kerjasama Nestle Malaysia di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Nestlé Malaysia untuk melancarkan Program Kutipan dan Kitar Semula di bandar raya ini.

Antara isi kandungan MoU tersebut, Nestlé akan berganding bahu dengan MBSA untuk melaksanakan program perintis yang melibatkan 540 isi rumah di Seksyen 18 dan Seksyen 24.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar & Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif pihak MBSA untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan amalan kitar semula di dalam kehidupan seharian ke arah menjadikan Shah Alam Bandaraya Sifar Sampah (Zero Waste) menjelang 2030.

“Para penduduk khususnya di kawasan perumahan di kawasan kediaman bertingkat (strata) hanya perlu mengasingkan bahan kitar semula kering bercampur mengikut kategori seperti kertas, plastik, aluminium dan kaca yang telah dibersihkan dari rumah dan dimasukkan ke dalam tong kitar semula mengikut kategori,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut semalam.

Majlis MoU tersebut turut disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor bersama Pengarah KPT Recycle Sdn. Bhd., Lee Chay Chen.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, menerusi projek perintis ini, hasil penemuannya dalam projek tersebut akan membolehkan mereka terus meluaskan program kepada komuniti di strata lain di bandar raya ini.

“Kami akan mewujudkan tabiat (masyarakat), infrastruktur yang diperlukan untuk melakukan kitar semula dan pengumpulan dengan cekap dan kami akan mengembangkan (ke bahagian lain di Shah Alam),”katanya.

Beliau berkata tong RoRo (Roll-On Roll-Off) dengan jumlah kapasiti sampah yang besar akan diletakkan di setiap bangunan strata untuk kutipan mingguan oleh rakan kerjasama projek, KPT Recycle Sdn. Bhd.

“Usaha ini adalah sejajar dengan sasaran kami untuk mengumpulkan sehingga 25 tan bahan kitar semula sebulan menjelang 2022 untuk menyumbang kepada wawasan kami agar tiada pembungkusan kami dikambus dalam tanah atau dibuang sebagai sampah sarap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN