
Sejumlah RM23 biliion atau 1.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diperuntukkan untuk Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) pada 2022 berbanding RM39 bilion yang diperuntukkan tahun ini.
Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, sebahagian besar peruntukan yang disediakan untuk KWC-19 pada 2022 adalah untuk program yang dibawa ke hadapan daripada tahun ini iaitu bantuan tunai, sokongan bantuan sosial untuk golongan terjejas dan PSU.
Laporan itu menyatakan, peruntukan KWC-19 akan berakhir pada 2022 berikutan tabung itu merupakan kumpulan wang sementara untuk jangka masa selama tiga tahun dengan jumlah keperluannya dianggar mencecah sekitar RM100 bilion di bawah had siling RM110 bilion yang diluluskan, manakala bakinya akan digunakan sebagai ruang kontigensi sekiranya diperlukan.
“Siling KWC-19 yang pada awalnya dihadkan kepada RM45 bilion pada 2020 telah ditingkatkan kepada RM110 bilion untuk menampung tambahan perbelanjaan di bawah pakej bantuan dan rangsangan ekonomi baharu.
“Selaras dengan peningkatan siling, peruntukan KWC-19 tahun ini telah disemak lebih tinggi kepada RM39 bilion daripada anggaran awal RM17 bilion iaitu 2.6 peratus lebih tinggi berbanding perbelanjaan sebenar pada 2020.
“Peningkatan itu bagi menampung keperluan yang lebih besar untuk program seperti Bantuan Prihatin Rakyat (RM16.8 bilion), PSU 2.0 (RM 9.7 bilion) dan Geran Khas Prihatin (GKP) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (RM3.4 bilion).
“Perbelanjaan berkaitan Covid-19 (RM2.9 bilion), sokongan bantuan sosial kepada kumpulan mudah terjejas (RM2 bilion) dan projek berskala kecil (RM1.3 bilion) merangkumi 92.7 peratus daripada jumlah peruntukan KWC-19 tahun ini,” demikian kata laporan itu.
Dalam pada itu, bagi prestasi perbelanjaan, sebanyak RM58.9 bilion telah dibelanjakan di bawah KWC-19 sehingga akhir Ogos lepas dengan sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk program pemberian tunai berjumlah RM25 bilion yang merangkumi 42.4 peratus daripada jumlah perbelanjaan.
Menurut laporan itu, sebanyak RM18.6 bilion dibelanjakan pada 2020 dan Januari tahun ini untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) manakala RM6.4 bilion diagihkan di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) menerusi beberapa fasa yang memberi manfaat kepada hampir RM10.6 juta penerima berpendapatan RM8,000 ke bawah dan lebih daripada 8.5 juta penerima berpendapatan RM5,000 ke bawah.
Selain itu, sebanyak RM17.3 bilion atau 29.4 peratus daripada jumlah perbelanjaan telah diagihkan kepada lebih daripada 350,000 majikan dan sekitar 2.9 juta pekerja serta hampir RM5 bilion bagi GKP di bawah pakej Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin PKS+) pada April 2020 yang memberi manfaat kepada 0.9 juta usahawan PKS mikro.
“Perbelanjaan untuk projek berskala kecil pula berjumlah RM3.7 bilion atau 6.3 peratus yang memanfaatkan masyarakat menjana kesan limpahan kepada ekonomi dan sebanyak RM2.6 bilion telah dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan berkaitan Covid-19.
“Sebanyak RM1 bilion pula bagi bantuan sosial untuk menyokong dan menambah baik ekonomi golongan mudah terjejas serta bakinya diagihkan untuk program lain seperti ePenjana, Dana Jaminan Makanan dan diskaun bil elektrik,” menurut laporan itu.
Peruntukan Kumpulan Wang Covid-19
| Program | 2021
(RM JUTA) |
2022
(RM JUTA) |
| Program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja dan bantuan latihan | 9,670 | 3,000 |
| Bantuan Prihatin Nasional | 16,801 | 8,000 |
| Projek berskala kecil | 1,311 | 2,000 |
| Program kemahiran dan peningkatan kemahiran | 360 | 1,000 |
| Pembiayaan PKS PENJANA | – | 2,000 |
| Geran PRIHATIN PKS | 3,435 | – |
| Pinjaman mikro kredit di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional | 520 | 1,000 |
| Peruntukan bagi perbelanjaan berkaitan Covid-19 | 2,940 | 2,000 |
| Dana jaminan makanan | 313 | – |
| Elaun khas Covid-19 bagi barisan hadapan | – | – |
| Dana PENJANA Nasional | 290 | – |
| ePenajana | 151 | – |
| Diskaun bil elektrik | 502 | – |
| Tambahan RM100 bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) | – | – |
| Bantuan khas untuk pelajar institusi pengajian tinggi | – | – |
| Pembiayaan Mudah Bumiputera | 200 | – |
| Subsidi pengangkutan awam MY30 | 200 | – |
| Bantuan khas untuk pemandu teksi, pemandu bas sekolah, pemandu bas pelancong, pemandu pelancong, pengayuh beca dan pemandu e-hailing | 123 | – |
| Sokongan bantuan sosial untuk golongan mudah terjejas | 1,980 | 3,540 |
| Geran automasi pintar | 90 | 460 |
| Pinjaman mudah di bawah MyCreative Venture | – | – |
| Perlindungan sosial dan latihan bagi pekerja ekonomi gig | – | – |
| Kempen e-Dagang bagi PKS dan perusahaan mikro | 10 | – |
| “Shop Malaysia Online” bagi perbelanjaan dalam talian | 40 | – |
| Sokongan penjagaan kesihatan PEKA B40 | – | – |
| Geran bagi pusat jagaan kanak-kanak dan tadika | 29 | – |
| Dana kandungan digital | – | – |
| Bantuan untuk pertubuhan bukan kerajaan | 10 | – |
| Pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan | 15 | – |
| Dana pemasaran dan promosi pendigitalan di bawah Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) | 10 | – |
| Pusat Sehenti PKS MyAssist | – | – |
| JUMLAH | 39,000 | 23,000 |
2021- Anggaran disemak
2022 – Anggaran belanjawan tidak termasuk langkah Bajet 2022
Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022










