Krisis tenaga dunia lonjak pasaran Rusia - Utusan Malaysia

Krisis tenaga dunia lonjak pasaran Rusia

KEDUDUKAN Rusia sebagai antara pengeluar utama minyak dan gas dunia, menjadikan negara itu tarikan para pedagang. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Peningkatan harga tenaga mencetuskan suasana bulis untuk pengeksport negara membangun dengan Rusia melonjak sebagai destinasi pelaburan kegemaran pedagang.

Mata wang ruble Rusia melonjak lebih tinggi berbanding mata wang negara baru muncul bulan ini, didorong prospek hasil minyak yang lebih tinggi sementara saham di negara itu meningkat ketika saham negara membangun lain tenggelam.

Laporan bulanan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan diperhati rapat minggu ini ketika pelabur mencari klu untuk unjuran industri minyak.

Ia menandakan perubahan yang drastik untuk pelabur pasaran baru muncul yang menghabiskan beberapa minggu terdahulu dengan kebimbangan terhadap ancaman krisis hutang Evergrande di China dan prospek polisi yang lebih ketat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu melemahkan permintaan untuk saham, bon dan mata wang semua ekonomi baru muncul sehingga sekarang.

Ketua Pegawai Pelaburan Carrhae Capital, Ali Akay berkata, harga tenaga akan kekal tinggi dan syarikat dalam negara pengeksport komoditi akan mendapat manfaat daripada kekurangan bekalan komoditi berkaitan tenaga di seluruh dunia.

“Tema ini akan meneruskan penarafan semula pengeksport bahan dan tenaga,” katanya.

Krisis dalam pasaran tenaga menyerlahkan status Rusia sebagai kuasa besar minyak dan gas serta kewangannya yang sihat.

Pengeksport tenaga terbesar dunia itu mempunyai lebih AS$600 bilion (RM2.5 trilion) rizab, kadar hutang rendah dan sedang berusaha meningkatkan kadar bagi mengatasi inflasi.

Unjuran naik taraf pendapatan untuk Rusia berbanding pasaran baru muncul lain menunjukkan pencapahan. Unjuran pendapatan 12 bulan untuk saham senaraian Moscow melonjak 14 peratus sejak separuh kedua tahun ini.

Sebagai perbandingan, unjuran keuntungan untuk syarikat di Arab Saudi meningkat 6.7 peratus, perubahan hanya sedikit di Asia dan menurun di Amerika Latin.

Syarikat tenaga dalam pasaran baru muncul juga kira-kira satu pertiga lebih murah berbanding indeks yang lebih luas walaupun mendapat keuntungan baru-baru ini, menunjukkan terdapat ruang untuk reli yang berterusan.

Pengurus wang seperti dana lindung nilai berpangkalan di London, Carrhae Capital bertindak balas dengan mengalihkan sebahagian perhatiannya daripada saham teknologi China kepada syarikat tenaga Rusia pada suku ketiga.

Wells Fargo Assets Management juga mengalihkan pelaburannya dari China ke Rusia. JPMorgan Chase & Co. menambah kedudukannya di Indeks Depositori Rusia memandangkan indeks tersebut kekal bulis dalam pertaruhan berkaitan komoditi dan minyak sehingga akhir tahun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN