Kebenaran rentas negeri perkukuh pasaran, ringgit - Utusan Malaysia

Kebenaran rentas negeri perkukuh pasaran, ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebenaran rentas negeri yang bermula semalam dilihat mampu melonjakkan prestasi pasaran saham dan ringgit Malaysia.

Impak positifnya sudah mula kelihatan apabila ringgit menokok 0.2 peratus kepada 4.167 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras tertingginya sejak 17 September lalu manakala pasaran ekuiti meningkat lebih 0.7 peratus semalam, kenaikannya dalam lima sesi berturut-turut.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, selain kebenaran rentas negeri, harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang kukuh turut menyumbang kepada peningkatan prestasi tersebut.

Kata beliau, kedua-dua faktor kebenaran rentas negeri dan harga komoditi yang kukuh turut mengukuhkan prestasi indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI minggu lalu.

Indeks tersebut mencatatkan peningkatan berterusan sejak 4 Oktober lalu dengan peningkatan hampir 50 mata dalam tempoh tujuh hari.

“Saya melihat prestasi ringgit mampu dikekalkan apabila rentas negeri kembali dibenarkan. Di samping itu, harga minyak yang kini melebihi AS$82 (RM341.98) setiap tong serta harga minyak sawit yang melebihi RM4,800 setiap tan dan harga getah yang kekal tinggi turut mendorong ringgit yang kukuh.

“Saya juga menjangkakan julat FBM KLCI sekitar 1,560 sehingga 1,580 mata sepanjang minggu ini dan tidak mustahil untuk melebihi 1,580 mata seperti yang berlaku sebulan lepas pada 8 September,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ahmed Razman, agak sukar untuk melihat FBM KLCI melepasi paras 1,600 mata dalam masa terdekat, yang kali terakhir dicapai pada 30 Ogos lalu.

“Tetapi tidak mustahil untuk mencapainya pada akhir Oktober atau awal November, terutamanya selepas pengumuman Belanjawan 2022 pada akhir Oktober ini,” katanya.

FBM KLCI ditutup pada 1,570.82 mata semalam, meningkat 6.92 mata berbanding Jumaat lalu dengan 6.869 bilion saham bertukar tangan bernilai RM3.857 bilion.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 737 berbanding 401 manakala 371 kaunter tidak berubah.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) juga kekal tinggi pada AS$81.51 (RM339.94) manakala minyak mentah Brent pada paras AS$84.18 (RM351.07).

Komoditi utama negara, minyak sawit pula mencapai paras harga tertingginya dalam sejarah pada RM5,021, 8 Oktober lalu sementara harga getah kekal tinggi pada RM8.75 setiap kilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN