PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), ahli Kumpulan MMC menjadi pelabuhan pertama di Asia Tenggara yang menyambut Ever Ace, kapal kontena terkini Evergreen Marine Corporation dan antara yang terbesar di dunia dalam pelayaran sulungnya di Asia Tenggara.
Ever Ace adalah antara kapal kontena kelas 24,000-TEU Evergreen Line yang pertama.
Kapal jenis A itu berkeluasan hampir 400 meter panjang dan 61.5 meter lebar, mempunyai draf reka bentuk 14.5 meter dan boleh berlayar dengan kelajuan hingga 22.6 knot dengan daya dukung nominal daripada 23,992 TEU.
Kapal ini digunakan dalam pelayaran perdana Perkhidmatan CEM Evergreen Line dalam perdagangan Asia-Eropah yang sebelumnya berlabuh di Colombo, Sri Lanka.
Pengerusi PTP dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, Kemunculan Ever Ace di PTP mencerminkan keyakinan pengusaha kapal terhadap kemampuan dan komitmen PTP dalam memenuhi keperluan pelanggan.
“Walaupun di sebalik pandemik Covid-19 dan pelbagai cabaran industri pelabuhan seluruh dunia yang secara tidak langsung menyumbang kepada turun naik jumlah kapal berlabuh, PTP terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan terus mencatatkan pertumbuhan organik.
“Prestasi cemerlang itu juga meletakkan pelabuhan di kedudukan 15 pelabuhan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen memaklumkan, PTP akan terus memanfaatkan lokasi strategiknya sebagai hab pemindahan serantau global dan juga
kelebihan daya saing dalam segmen pelanggannya untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.
“Tahun demi tahun, PTP secara memperkuat posisinya secara berperingkat dengan pelaburan untuk peralatan baharu dan usaha untuk meningkatkan keupayaan pengendalian kontena bagi
memperkasa keupayaan perkhidmatan kami seterusnya memenuhi permintaan pasaran.
“Ini juga bagi memastikan generasi baharu kapal kontena ultra dapat berlayar ke pelabuhan kami dengan selamat dan dalam masa yang sama memberi jaminan penyimpangan minimum dari jadual pelayaran mereka,” ujarnya.
Ever Ace dibina oleh Samsung Heavy Industries Korea Selatan dan secara rasmi dihantar pada 28 Julai.
Kapal jenis A Evergreen Line dilengkapi dengan pelbagai reka bentuk mesra alam dan menjimatkan bahan api itu dijadualkan untuk berlabuh ke Kaohsiung, Taiwan selepas PTP. – UTUSAN










