JOHOR BAHRU: Hilang kudrat dan punca pendapatan. Itu cabaran hidup yang dilalui oleh Maimun Said dan Azmin Sakur di sini.
Maimun Said, 50, ibu tunggal, lumpuh badan bahagian kanan sejak setahun lalu ketika hendak solat subuh, hingga menyukarkannya menyediakan jualan sarapan sebagai punca rezeki selama ini.
Dahulu, segalanya dilakukan sendiri, namun tidak lagi kini.
Maimun hanya mampu terlantar di rumah. Mengurus diri sendiri pun tidak mampu. Hanya bergantung harap kepada empat anak lelakinya berusia antara 15 hingga 27 tahun yang tinggal bersama.
Kehidupan dia lima beranak banyak bergantung kepada anak sulung yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji sekitar RM1,000. Duit itulah untuk bayar sewa rumah dan membeli barangan keperluan hidup.
“Jika diikutkan memang tidak cukup, namun kami cuba berjimat seberapa yang mampu dengan membeli barangan keperluan ala kadar,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sewaktu masih sihat dahulu, Maimun mengambil tempahan menyediakan pelbagai juadah sarapan seperti nasi lemak dan kuih-muih untuk peniaga-peniaga lain dengan pendapatan cukup menyara hidup mereka.

tunai RM1,000 melalui Jelajah Ikhlas Bersama CSR di rumahnya di Felda Simpang
Waha, Kota Tinggi, baru-baru ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Berbeza pula kisah hidup dilalui Azmin Sakur, 31, yang kini menjual mi celup bersama isteri, Haziyah Hadman, 28, sebagai punca rezeki selepas hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
Lima tahun dahulu, bapa kepada dua anak di Felda Simpang Waha itu, membanting tulang sebagai pembantu pembersihan di sebuah hotel di seberang Tambak Johor, dengan gaji agak lumayan mencecah RM5,000 sebulan.
“Dari bujang sehingga berkahwin dan mempunyai seorang anak saya selesa bekerja di Singapura. Meskipun terpaksa bangun pagi untuk meredah kesesakan namun berbaloi dengan gaji diperolehi.
“Tahun lalu ketika Covid-19 berlaku syarikat mula menetapkan syarat, kami tidak dibenarkan kuarantin di hotel. Saya mengambil keputusan pulang ke rumah mentua bersama isteri dan anak. Ketika itu bapa mentua baru meninggal dunia,” katanya.
Maimun dan Azmin antara penerima sulung sumbangan Jelajah Ikhlas Bersama CSR anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd (MMSB).
Dengan tagline ‘Berkongsi Kemanisan Rezeki’ melibatkan sumbangan kewangan, barangan makanan dan lain-lain, program berkenaan menyasarkan kumpulan yang terjejas akibat andemik Covid-19 khususnya golongan B40 di seluruh negara.
Sila layari Facebook Utusan Online & Kosmo Online untuk menonton video penuh program Jelajah Ikhlas pada 1 Oktober 2021, pukul 12 tengah hari. – UTUSAN