Industri kewangan gesa HK longgar peraturan kuarantin - Utusan Malaysia

Industri kewangan gesa HK longgar peraturan kuarantin

LANGKAH Hong Kong terus mengetatkan kawalan pencegahan Covid-19 dilaporkan memberi kesan negatif kepada operasi industri kewangan di pulau berkenaan yang merupakan hab kewangan global. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Industri kewangan global terus menekan Hong Kong supaya melonggarkan peraturan kuarantinnya yang ketat menghentikan dasar Covid sifar, setelah tinjauan mendapati, hampir separuh bank antarabangsa utama dan pengurus aset mempertimbangkan untuk memindahkan kakitangan atau fungsi mereka ke wilayah lain.

Dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Kewangan Paul Chan yang dilihat oleh Bloomberg News, Persatuan Pasaran Kewangan dan Industri Sekuriti Asia (ASIFMA), iaitu kumpulan pelobi teratas untuk firma kewangan di bandar itu mengatakan, pendekatan keras yang dilaksanakan telah meletakkan status Hong Kong sebagai pusat kewangan, pemulihan ekonomi dan daya saingnya berdepan risiko.

Kekhuatiran badan pelobi itu semakin meningkat ketika pusat kewangan lain termasuk Singapura, London dan New York, mulai kembali normal, mengurangkan peraturan perjalanan dan mula menerima kehadiran virus berkenaan.

Hong Kong dilaporkan mempunyai beberapa polisi paling ketat di dunia mengenai kuanrantin, menyebabkan pelancong yang masuk ke pulau berkenaan perlu dikuarantin dalam tempoh tiga minggu, strategi yang dikatakan berjaya mengekang jangkitan pandemik kepada sifar.

“Seluruh dunia bergerak maju dan Hong Kong tidak membuat rancangan yang memberikan kepastian kepada individu yang mereka perlukan.

“Sesetengah firma memindahkan operasi, ia bukan jumlah yang besar sekarang. Semakin lama perkara ini berlaku, semakin sukar bagi firma untuk mengekalkan operasi di Hong Kong,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ASIFMA, Mark Austen.

Menurut ASIFMA, kira-kira 90 peratus dariapda 30 ahlinya memberitahu, operasi mereka di Hong Kong kini dalam kategori `sederhana’ atau `sangat’ terkesan (akibat polisi yang dilaksanakan).

Malah katanya, hampir tiga perempat daripada kebanyakan syarikat antarabangsa mengalami kesukaran dalam menarik dan mengekalkan bakat, selain berdepan cabaran yang sangat signifikan.

Sehubungan itu, ASIFMA meminta kerajaan untuk mengurangkan sekatan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), Eropah dan UK, yang menempatkan banyak ibu pejabat syarikat multinasional.

Ia juga mendesak pentadbiran Hong Kong untuk menetapkan jangka waktu yang jelas untuk pembukaan sempadan.

Kerajaan Hong Kong setakat ini tidak memberikan sebarang ulasan berhubung perkara berkenaan. – AGENSI

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN