Galak beli rumah di pinggir bandar - Utusan Malaysia

Galak beli rumah di pinggir bandar

Nilai hartanah Lembah Klang dijangka menurun kerana kesan banjir yang dahsyat mewujudkan kebimbangan banjir teruk yang sama akan berlaku di masa depan -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang pembentangan Belanjawan 2022, iProperty.com.my mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil kerajaan bagi merangsang pemulihan pasaran hartanah kediaman.

Antara cadangan yang diberikan ialah menggalakkan migrasi pinggir bandar melalui sistem infrastruktur yang lebih baik yang dapat menguraikan daerah perniagaan pusat (CBD) bukan sahaja di Lembah Kelang, malah pusat bandar negeri lain.

Menurut portal hartanah itu, ketika ini individu mempunyai kurang alasan untuk tinggal dekat dengan tempat kerja memandangkan trend atau hibrid kerja dari rumah mungkin kekal untuk satu jangka masa walaupun negara sedang beralih ke fasa endemik.

Pengurus Besarnya, N. Shylendra berkata, trend migrasi ke pinggir bandar dapat dilihat melalui Analisis Permintaan Portal iProperty.com.my untuk pasaran subsale kediaman separuh tahun pertama 2021 yang terbaharu.

Kata beliau, trend itu dapat dilihat terutamanya di kawasan pinggir bandar Selangor seperti Puncak Alam, Dengkil dan Semenyih yang masing-masing meningkat lima peratus, dua peratus dan empat peratus tahun ke tahun kerana terdapat rumah teres yang berpatutan dan luas di kawasan tersebut.

“Oleh yang demikian, kami berharap pihak kerajaan akan meningkatkan usaha mempromosikan kawasan pinggir bandar dan perumahan sebagai pilihan yang menarik berbanding kediaman bandar yang padat.

“Apabila permintaan pengguna untuk daerah pinggiran kota meningkat, kerajaan kemudiannya akan dapat memperkenalkan projek pembangunan infrastruktur utama untuk mengekalkan minat jangka panjang di daerah-daerah tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Shylendra turut mencadangkan supaya kerajaan memudahkan persekitaran yang kondusif bagi pembeli rumah pertama yang dianggap penting bagi mengatasi masalah kewangan semasa yang dihadapi pelbagai demografi dalam kumpulan pembeli tersebut.

Kata beliau, kerajaan wajar melancarkan proses permohonan kemudahan pembiayaan rumah seperti Skim Rumah Sewa Untuk Beli (RTO, Skim Perumahan Belia, Dana untuk Rumah Mampu Milik dan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) untuk mengurangkan halangan kemasukan untuk pembeli rumah kali pertama.

“Kebanyakan penyewa memilih untuk menyewa kerana ia lebih masuk akal dari segi kewangan dalam situasi hartanah yang tinggi.

“Oleh itu, untuk mendorong penyewa yang ingin beralih untuk menjadi pemilik rumah, kami mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan kerangka yang akan membolehkan institusi kewangan mengiktiraf sejarah pembayaran sewa rumah sebagai rujukan tambahan ketika menyemak permohonan peminjam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN