PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berpendapat, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan membantutkan segala usaha kerajaan untuk membantu bumiputera.
Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, itu kerana perjanjian tersebut bersifat komprehensif dan akan menyebabkan kedaulatan serta undang-undang negara boleh dicabar oleh negara luar.
“Ia juga membolehkan syarikat-syarikat di Malaysia dikenakan denda jika tidak dapat mencapai apa yang dikehendaki dalam perjanjian CPTPP itu.
“Justeru, kami berharap CPTPP akan ditangguhkan. Waktu pandemik Covid-19 adalah satu peluang untuk kerajaan tetapkan semula ekonomi dan mengelakkan daripada menjalankan perniagaan yang menggunakan tenaga kerja warga asing sehingga menyebabkan rakyat Malaysia tiada pekerjaan terutamanya dalam sektor pengilangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, walaupun kerajaan telah menyasarkan purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025 dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), perhatian DPMM tertumpu kepada pendapatan bumiputera yang empat kali ganda lebih rendah berbanding kaum lain.
Ujarnya, perbezaannya amat ketara dan satu tindakan yang amat drastik perlu dilakukan kerajaan bagi menjana semula dan menambah baik pendapatan orang Melayu.
Namun begitu, DPMM mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mengutamakan perancakan pertumbuhan ekonomi dalam RMK-12.
“Semasa Perdana Menteri membentangkan RMK-12 di Parlimen, beliau berkata, sebahagian besar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diperkasa semula setelah terjejas akibat pandemik.
“Revolusi Industri 4.0 (RI4) akan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana mengambil peluang dan menggapai apa yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Penubuhan Pusat Kecemerlangan untuk Industri Masa Hadapan juga akan menambah baik kepakaran PMKS serta meningkatkan daya maju dan daya saing mereka,” jelasnya.
Pihaknya turut berharap projek-projek seperti Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan, Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru dan landasan-landasan lain akan diberikan kepada subkontraktor bumiputera supaya ia dapat membantu menjana ekonomi negara. -UTUSAN ONLINE