PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan tambahan RM4.5 bilion di bawah Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Tambahan dana itu untuk menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Selain kemudahan ini, kemudahan lain terus ditawarkan di bawah berkenaan termasuk Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA), Kemudahan Automasi dan Digital PKS (SME ADF) dan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF).
“Secara keseluruhan, jumlah dana yang tersedia di bawah Dana BNM untuk PKS adalah sebanyak RM11.2 bilion,” kata BNM dalam kenyataan.
Selain itu, BNM turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta untuk usahawan mikro daripada kumpulan berpendapatan rendah melalui iTEKAD.
ITEKA ialah program pembiayaan sosial campuran oleh bank-bank Islam yang menawarkan modal benih (seed capital), pembiayaan mikro dan latihan berstruktur kepada usahawan mikro dengan kerjasama rakan-rakan pelaksana.
“Bagi mengembangkan lagi inisiatif tersebut untuk menggalakkan penyertaan yang lebih banyak daripada institusi kewangan, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi meningkatkan modal benih program tersebut,” katanya.
BNM turut memaklumkan pelanjutan Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) dan pengecualian duti setem Program PTV akan diteruskan pada tahun 2022, dengan penambahan nilai baucar daripada RM50 kepada RM75.
Di bawah program ini, penerima B40 yang layak akan diberikan baucar yang boleh dibelanjakan untuk membeli produk Perlindungan Tenang daripada penanggung insurans dan pengendali takaful.
Produk Perlindungan Tenang merupakan pelan insurans atau takaful asas yang mudah dan mampu dibayar.
“Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian duti setem untuk produk insurans dan takaful dengan premium/sumbangan tahunan kurang daripada RM150 bagi individu dan RM250 bagi PKS mikro,” tambah bank pusat itu. – UTUSAN










