Bajet besar komitmen pulihkan negara - Utusan Malaysia

Bajet besar komitmen pulihkan negara

PERUNTUKAN besar BAJET 2022 menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memacu pemulihan ekonomi negara dan rakyat yang tejejas akibat pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion sekali gus melebihi bajet tahun lalu menunjukkan komitmen luar biasa kerajaan melalui polisi fiskal untuk terus memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ini melibatkan peningkatan hutang negara ke paras 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan defisit diunjurkan ke paras antara 6.0 hingga 7.0 peratus.

“Kebimbangan saya adalah kadar inflasi yang dijangka meningkat apabila ekonomi memasuki fasa pemulihan. Kenaikan harga barang telah pun berlaku dengan kenaikan harga minyak mentah, contohnya harga besi dan simen yang pasti meningkatkan kos pembinaan bangunan selepas ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, dalam keadaan ini, kerajaan seharusnya menguatkuasakan kawalan ke atas harga barang yang dikelola Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selain mencari jalan untuk memberi subsidi.

Selain itu, kata beliau, kerajaan disaran mempertimbangkan untuk menghapuskan permohonan lesen import (AP) sebaliknya membuka kepada semua peniaga yang akhirnya pemborong atau orang tengah tidak boleh melakukan monopoli.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera yang mendokong tiga paksi utama iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.

Sebanyak RM332.1 bilion disediakan dalam Bajet 2022, tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai pembentangan Bajet 2022 tersebut, Aimi Zulhazmi berkata, kesediaan kerajaan memberi keutamaan dalam sektor pembinaan adalah pemangkin ekonomi negara utama kerana ia amat membantu dalam menjana pemulihan ekonomi negara.

“Kerajaan juga terus memberikan sokongan kewangan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui agensi-agensi sedia ada. Sistem crowdfunding bagi membantu peniaga-peniaga juga adalah sesuai berdasarkan equity funding dan bukannya pinjaman biasa yang mempunyai kiraan risiko sendiri.

Crowdfunding lebih sesuai untuk perniagaan baharu kerana kadar risikonya dikongsi bersama-sama dengan pelabur,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, Bajet 2022 adala bajet komprehensif dan berani kerana kesanggupan kerajaan memperuntukkan RM332.1 billion yang merupakan tertinggi dalam sejarah.

Jelasnya, ini bagi memastikan tiada golongan yang terlepas daripada menerima insentif atau bantuan untuk kembali pulih daripada krisis kesihatan dan ekonomi seterusnya menjadi Keluarga Malaysia yang berdaya saing dan mampan.

“Perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang lebih tinggi membuktikan komitmen kerajaan supaya pemulihan ekonomi tahun depan akan dapat dilaksanakan tanpa kekangan.

“Selain itu, banyak inisiatif yang lebih mampan dan juga banyak peluang untuk meneroka industri dan ekonomi baharu yang membolehkan negara menjana kepelbagaian hasil tanpa terpaksa bergantung kepada industri tertentu sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN