PETALING JAYA: Bajet 2022 yang dibentangkan hari ini dijangka menumpukan pelan tindakan pemulihan ekonomi negara yang diperincikan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), serta meneruskan perancangan Bajet 2021 yang tergendala disebabkan pandemik Covid-19.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia termasuk peruntukan pembangungan terbesar dalam sejarah iaitu hampir RM69 bilion yang tertangguh sebelum ini.
Selain itu ujarnya, sebahagian besar peruntukan yang diumumkan dijangka untuk kebajikan rakyat dan kesinambungan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Walau bagaimanapun, belanjawan kali ini dijangka akan meningkatkan hutang negara kesan daripada polisi fiskal oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik.
“Justeru, kerajaan perlu mengimbangi di antara polisi fiskal dan fiskal monetari untuk mengurangkan jangkaan beban hutang kerajaan yang dijangka bertambah selari dengan kelulusan 65 peratus hutang statutori oleh Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, Bajet 2022 akan padat dengan insentif, tunai serta pembiayaan mudah untuk membantu memulihkan ekonomi.
“Pembentangan belanjawan kali ini dijangka defisit, dan mungkin juga belanjawan defisit terbesar dalam sejarah kerana fokus utama kerajaan untuk kesinambungan kehidupan selepas pandemik.
“Saya jangka kerajaan telah menyusun bantuan bersasar, khasnya untuk wanita, golongan B40, usahawan kecil serta perniagaan sektor terkesan seperti pelancongan dan kesihatan.
“Selain itu, perbelanjaan pembangunan untuk wilayah yang terkebelakang juga sudah tentu diberikan perhatian sewajarnya. Ini penting agar pembangunan negara terus berjalan lancar walaupun tergendala sejak pandemik tahun lalu,” jelasnya.
Beliau turut menjangkakan kerajaan tidak akan memperkenalkan sebarang cukai baharu ataupun kenaikan cukai sedia ada bagi mendorong pemulihan ekonomi rakyat.
“Apa yang penting, Bajet 2022 akan mengutamakan pemulihan dan pemerkasaan rakyat, ekonomi dan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, belanjawan kali ini akan menjadi bajet yang paling besar dari segi peruntukan, mungkin sekitar RM350 billion.
“Pembentangan belanjawan ini akan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan penjanaan dan pelbagaian hasil melalui ekonomi baharu seperti ekonomi digital dan industri kreatif,” katanya. – UTUSAN










